[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - Oktober 10, 2021 @ 1:20pm[email protected]
Bot tunda dan barge yang ditahan Maritim Malaysia berhampiran Pulau Kendi, Pulau Pinang. - Foto MARITIM MALAYSIA
GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan bot tunda dan barge yang disyaki bersauh tanpa kebenaran dekat sini, 9 pagi semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata bot tunda bersama barge ditahan kapal Maritim (KM) Sikuati pada jarak 0.5 batu nautika timur Pulau Kendi, di sini.
Katanya, pemeriksaan mendapati bot Jaya Raya dan Barge PISB Cahaya itu juga didapati menggaji kru asing tanpa permit yang sah.
"Bot tunda itu gagal mengemuka dokumen kebenaran berlabuh dari Pengarah Laut Malaysia," katanya di sini, hari ini.
Abd Razak berkata, barge membawa muatan jentera dan bahan binaan pula dikendalikan tiga warga Myanmar dan mereka ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh.
"Nakhoda bersama dua kru bot tunda serta tiga kru barge sudah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang bagi siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntuk denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntuk denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.