KOTA KINABALU: Sebahagian besar daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 761 semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata ibu negeri kembali mencatatkan jumlah kes tiga angka kepada 104 dengan penambahan sebanyak 20 kes diikuti Tuaran 59, Ranau 54, Tenom 52, Keningau 45 dan Lahad Datu 42.
“Kawasan bandar lain seperti Sandakan, Putatan dan Penampang juga menunjukkan penambahan bagaimanapun pada kadar yang rendah.
“Sepertimana yang diramalkan sebelum ini kadar penambahan kes di Sabah dalam keadaan turun-naik dan jangkitan dalam komuniti kekal tinggi bagaimanapun Tawau masih menunjukkan penurunan kes yang statik sebanyak 12 kes, daripada 32 kepada 20 kes,” katanya.
Beliau berkata sepertimana yang seringkali diumumkan sebelum ini, ‘lockdown’ bukan lagi kaedah yang berkesan untuk membendung penularan COVID-19 apabila virus sudah berada dalam komuniti.
“Sebelum ini, ‘lockdown’ adalah satu-satunya pilihan terbaik dalam ketiadaan vaksin dan kaedah ini mampu mencapai matlamat kadar jangkitan mencapai sifar di lokaliti tertentu.
“Kaedah ini juga berkesan sebelum virus berada dalam komuniti serta kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya dan mudah menjangkit seperti varian Delta,” katanya.
Oleh itu katanya peratusan kes melalui sariangan bergejala yang tinggi di kebanyakkan daerah harus menjadi satu peringatan kepada masyarakat agar berhati-hati bila berada di khalayak ramai.
“Patuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa amalkan penjagaan kesihatan diri dan menganggap diri kita sebagai petigas barisan hadapan atau ‘frontliners’ dalam usaha membendung penularan COVID-19.
“Apa yang penting elakkan menjadi pembawa virus ke rumah kita sendiri dan menjangkiti orang tersayang,” katanya.
Dalam pada itu Masidi berkata jangkitan semalam menunjukkan hampir 38 peratus daripada semua kes baharu adalah melalui saringan bergejala.
“Peratusan kes yang diperolehi melalui saringan kontak rapat sebanyak 54.1 peratus tidak terlalu jauh bezanya dengan jumlah kes daripada saringan bergejala.
“Bagi ibu negeri sendiri, 41 daripada 104 kes adalah kes melalui saringan bergejala, begitu juga dengan 11 daripada 22 di Putatan, di Tawau menunjukkan 11 daripada 20 kes diikuti Sandakan iaitu 16 daripada 33 kes.
“19 daripada 42 kes juga dicatatkan di Lahad Datu dan 36 kes daripada 80 kes di Kota Belud serta 21 daripada 54 kes di Ranau,” katanya.
Tambahnya daripada 761 kes hari ini, 120 pesakit adalah dalam Kategori satu diikuti 574 orang dalam Kategori dua, lima orang dalam Kategori tiga dan empat orang masing-masing dalam Kategori empat dan lima manakala 54 kes lagi masih dalam siasatan lanjut.
“Jumlah kes yang rendah dalam kategori tiga hingga lima menunjukkan bukti keberkesanan vaksin.
“Walaupun mereka yang sudah diberi vaksin masih boleh dijangkiti tetapi hampir keseluruhan mereka yang dijangkiti tidak akan mengalami kesan dan simptom serius atau nyawa terancam kecuali pesakit yang menghadapi lain-lain penyakit sedia ada,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/09
|