Sekitar operasi khas nombor pendaftaran oleh IPD Kuching.
KUCHING: Operasi khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memburu kenderaan menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi spesifikasi terus diperhebatkan dengan 197 kenderaan telah disaman sejak 4 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 119 saman adalah kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan 52 saman bagi kesalahan nombor pendaftaran 'fancy'.
Menurutnya 26 saman lagi dikeluarkan atas kesalahan tidak mempamerkan nombor pendaftaran.
"Bagi kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, motosikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 55 saman, kereta (42); kenderaan pacuan empat roda (18); dan van sebanyak empat saman.
"Manakala kesalahan nombor 'fancy', motosikal (29); kereta (20); kenderaan pacuan empat roda (2); dan van satu saman.
"Tiada nombor pendaftaran pula merekodkan motosikal (25) dan kereta satu saman," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching akan dilaksanakan secara berterusan.
"Operasi khas ini adalaha bagi mengelakkan penggunaan nombor pendaftaran yang sukar dibaca dan mengelirukan yang memberi kesan kepada penguatkuasaan had laju, kes langgar lari dan pembabitan dalam kes jenayah," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/09
|