Baling: Jika sebelum ini dia menguruskan jenazah orang ramai, hari ini giliran jenazahnya pula bakal diuruskan penduduk Kampung Charok Bakong, di sini.
Itulah suratan takdir penggali kubur kampung itu, Shabudin Othman, 51, yang meninggal dunia 8.30 malam tadi selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Difahamkan, dalam kejadian itu mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kenderaannya itu bergesel dengan kereta Proton Persona di Jalan Baling-Weng Tanjung Pari berdekatan Kampung Dalam Wang, di sini.
Ketua Kampung Padang Che Mas Mohd Shahrudin Md Ghazali berkata, arwah banyak berjasa kepada penduduk sekitar Mukim Pulai selain membantu menguruskan jenazah.
"Selain menjadi penggali kubur sejak lebih 10 tahun lalu, arwah turut membantu menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19 ini.
"Malah kami sempat berbincang pagi semalam, mengenai senarai penduduk kampung yang layak menerima bantuan bakul makanan sebelum dia terbabit kemalangan malam tadi," katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan di lokasi mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa cuba membelok masuk ke simpang kanan jalan sebelum bergesel dengan kereta Proton Persona.
Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh kemudian digilis kereta berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pemandu warga Indonesia berusia 27 tahun didapati tidak mempunyai lesen memandu dan didapati tinggal di negara ini selama enam tahun.
"Polis menahan pemandu yang bekerja sebagai buruh berkenaan terbabit bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Difahamkan, jenazah mangsa masih berada di Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan ujian pengesahan Covid-19.