SERIAN: Sebanyak 20 rumah ibadat dari 20 kampung dalam kawasan Bukit Semuja menerima sumbangan set peralatan pembasmi kuman, pelitup muka dan cecair pencuci tangan dalam Program Ziarah UKAS Prihatin pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus telah hadir bagi merasmikan program pada kali ini sekaligus menyampaikan sumbangan UKAS Prihatin kepada pengerusi rumah-rumah ibadat di kawasan berkenaan.
Dalam ucapan ringkasnya, John Ilus mengucapkan tahniah kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) kerana telah menganjurkan program yang bersifat prihatin dan peka dengan keadaan semasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa peranan ketua kampung dan pengerusi rumah ibadat amat penting bagi memastikan penduduk kampung terus patuh SOP COVID-19, mengamalkan budaya norma baru dan memastikan rumah-rumah ibadat dalam keadaan bersih dan selamat untuk beribadah.
Beliau turut mengambil kesempatan menyerahkan banner pematuhan SOP COVID-19 kepada ketua kampung yang terlibat.
Program tersebut diadakan di Berambeh Centre Ranchan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Peserta terdiri daripada ketua-ketua kampung dan pengerusi masjid, surau, gereja dan kuil kampung berkenaan dan mereka dikehendaki melakukan ujian RTK COVID-19 sebelum memasuki dewan.
Kaunter pameran poster dan risalah kesedaran COVID-19 dan Rabies turut dibuka dan poster-poster telah diagihkan kepada semua peserta yang hadir.
sarawakvoice.com/2021/10/09
|