KUCHING: Samsung Engineering, salah sebuah syarikat kejuruteraan, pembinaan dan pengurusan projek (EPC&PM) terkemuka di dunia, menyatakan minat untuk membangunkan projek hidrogen hijau dan amonia dikenali sebagai Projek H2biscus di Bintulu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Ketua Menteri, DatuK Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai pasukan negeri dalam sesi perbicaraan secara maya dengan konsortium Korea Selatan itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai projek berkenaan dan faedahnya kepada Korea Selatan dan Sarawak, semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Engineering, Sungan Choi mengemukakan cadangan itu ‘Projek Hidrogen Hijau dan Amonia H2biscus’ kepada Presiden dan Menteri Republik Korea semasa mengumumkannya pada majlis Strategi Pembangunan Masyarakat dan Ekonomi Hidrogen Kerajaan Korea’ yang menjelaskan rancangan dan pencapaian ekonomi hidrogen kerajaan Korea.
Dalam pembentangannya, Choi menegaskan tiga syarikat utama Korea iaitu Posco, Lotte Chemical dan Samsung Engineering akan mengambil bahagian aktif dalam pembangunan projek berkenaan termasuk pelaburan langsung, pembinaan, pengangkutan dan penggunaan.
Beliau juga berkata, produk mesra alam bakal dihasilkan ialah hidrogen hijau, amonia, methanol dan CCU.
Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, Projek Hidrogen Hijau/Amonia H2biscus Sarawak itu akan dibiayai dan dibangunkan oleh Posco, Lotte Chemical, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melalui anak syarikatnya SEDC Energy dan konsortium Samsung Engineering.
Projek itu dijangka menghasilkan 7.000 ton hidrogen hijau setahun untuk kegunaan domestik Sarawak, 600,000 ton amonia biru setahun, 630,000 ton amonia hijau setahun dan 460,000 ton methanol setahun.
Kajian kemungkinan awal telah selesai dan kajian kemungkinan itu dijangka bermula tahun ini. Kontrak bagi FEED dan EPC dijadual ditawarkan tahun berikutnya.
Choi mendedahkan projek itu akan menjadi projek contoh di peringkat antarabangsa bagi perdagangan tenaga diperbaharui dan pengangkutan hidrogen antara Korea dan Malaysia, mewujud standard dagangan berkaitan hidrogen di kedua-dua negara.
Sementara itu, Samsung Engineering sedang membangun projek loji methanol Petchem Sarawak di Bintulu yang dijangka menghasilkan 5,000 ton methanol sehari.
Samsung Engineering sentiasa berusaha menghasilkan produk hijau dengan menyediakan perkhidmatan mesra alam dan penggunaan tenaga optimum melalui proses analisis berdasarkan digital kembar.
Ia bertujuan mentransformasikan industri tenaga dengan membangunkan teknologi baharu berkaitan hidrogen dan teknologi CCUS.
sarawakvoice.com/2021/10/09
|