Tertuduh (kanan) keluar dari kamar mahkamah selesai jatuh hukum.
KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang penganggur lelaki yang mencederakan bapa kandungnya menggunakan sebilah pisau pemotong daging, setelah marah apabila ditegur untuk mencari pekerjaan.
Hakim Afidah Abdul Rahman turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Shafiq Norisam, 24, yang mengaku bersalah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama, untuk dikenakan dua sebatan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan Norisam Talip, 50, menggunakan sebilah pisau pemotong daging dalam satu kejadian pada 3 Oktober lalu, jam 9.30 malam di kediaman mereka di Bandar Baru Semariang, di sini.
Berdasarkan keterangan kes, mangsa (pengadu) dan isterinya menegur dan menasihati anak sulung mereka (tertuduh) agar mencari pekerjaan.
Tertuduh naik angin hingga berlaku pertengkaran antara pengadu dengan tertuduh.
Pemuda berkenaan seterusnya pergi ke dapur untuk mengambil pisau pemotong daging dan kemudiannya mengugut hendak menetak pengadu.
Isteri pengadu cuba untuk menenangkan tertuduh namun tertuduh bertindak menampar pipi sebelah kanan isteri pengadu.
Berlaku pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan pisau pemotong daging yang dipegang oleh tertuduh terlepas dari tangan dan terkena pada kaki kanan pengadu.
Akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami kecederaan luka di kakinya.
Pengadu seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar tidak dikenakan hukuman berat atas alasan dia menyesali perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff bagaimanapun memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman berat dengan mengambil kira bahawa kesalahan adalah membabitkan ahli keluarga sendiri, kekerapan kes, kepentingan awam dan berat kesalahan dilakukan.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 3 Oktober lalu, selain mengenakan dua sebatan. Tertuduh tidak diwakili peguam.
utusanborneo.com.my/2021/10/08
|