Chin
KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menyediakan kelas komputer di semua sekolah rendah.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying berkata, cadangan itu selaras dengan seruan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mahu memperluaskan bidang pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.
"Menyediakan kelas komputer di sekolah rendah adalah pendekatan terbaik untuk memperkenalkan STEM.
"Oleh itu, saya berharap Kementerian Pendidikan boleh meluluskan cadangan memperkenalkan kelas komputer sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum agar murid-murid tidak ketinggalan dalam STEM," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bidang STEM adalah elemen penting bagi memastikan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi dibawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Katanya, STEM penting kepada pembangunan Malaysia di masa hadapan khususnya bidang analisis data, kecerdasan buatan (AI), robotik dan banyak lagi dalam revolusi perindustrian ke-4.
Menurutnya, kajian oleh universiti awam Malaysia menunjukkan kaedah matematik yang diajar dalam STEM penting dalam memperkasakan kemahiran komputer.
"Kemahiran berkenaan boleh dilihat pada silibus pembelajaran dalam kelas sejak 2017 dalam usaha melahirkan pelajar berfikiran kreatif, bagaimanapun tahap kemajuan bidang berkenaan sehingga kini masih tidak meyakinkan.
"Membangunkan kemahiran komputer memerlukan pendekatan yang pelbagai dalam usaha mencapai Malaysia 5.0, sementara pelan pembangunan pendidikan 2013-2025 dan transisi ke tujuh pelan tranformasi pendidikan juga menetapkan kemahiran berkenaan bagi memperkasakan keupayaan pelajar dalam bidang saintifik," katanya.
Chin berkata, walapun kadar penggunaan perkhidmatan digital semakin meningkat dalam bidang e-perdagangan, perbankan dan banyak lagi, tetapi jumlahnya masih rendah.
Menurut laporan Bank Negara Malaysia pada 2018 katanya, majoriti penggunaan internet di negara ini (81.2 peratus) hanya khusus kepada muat turun hiburan seperti media dan permainan.
"Hanya jumlah sedikit sahaja (internet) digunakan untuk tujuan profesional (9.1 peratus), penghasilan kandungan (11.8 peratus) dan pembelajaran kelas atas talian (4.8 peratus).
"Ini menunjukkan Malaysia harus memperkenalkan STEM seawal sekolah rendah dan menengah agar generasi muda mampu menanam semangat inovasi dan technopreneurship," katanya.
"Kajian berkenaan juga menunjukkan bahawa kursus berkaitan itu telah berkembang secara tidak langsung diperingkat pembelajaran lebih tinggi," katanya.
Chin berkata, bidang STEM yang diperkenalkan diperingkat universiti juga akan membakar semangat para pelajar untuk mempelajari inovasi dan teknologi, seterusnya menggalakkan mereka membuat kajian lapangan atau inovasi dalam perdagangan.
Katanya, kursus STEM juga akan menaik taraf kemahiran tenaga kerja rendah kepada peringkat menengah dan peringkat menengah kepada pekerja berkemahiran tinggi. "STEM adalah cara terbaik untuk bergerak selari dengan landskap global memandangkan syarikat gergasi dunia akan menggunapakai digitalisasi dan teknologi data dalam melaksanakan tugasan harian, kerja dan kemahiran menjelang 2025.
"Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan semula STEM dengan secepat mungkin," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/09
|