SIBU: Pustaka Negeri Sarawak telah membuka semula perkhidmatan kepada orang awam bermula 3 Ogos lepas selaras dengan Pembukaan Semula Sektor Perpustakaan PPN Fasa 2 Sarawak dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
“Unit Komunikasi Korporat, telah mengadakan pameran bahan-bahan terbitan bertempat di Bookshop Cafe, Pustaka Negeri Sarawak, Sibu bermula pertengahan bulan September lepas yang dijalankan untuk sepanjang tahun ini.” Katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.
Difahamkan, Pustaka Negeri Sarawak telah mempamerkan semula buku dan CD Koleksi Sarawakiana yang pernah dihasilkan oleh penulis tempatan.
Dalam pada itu, Koleksi Sarawakiana kebanyakannya bertemakan kebudayaan masyarakat Sarawak dan Pustaka Negeri Sarawak juga telah menerbitkan buku yang menarik dan terbaharu .
“Antaranya ialah Heritage Matters, Budaya Tradisi Kaum Jatti Miriek, Pentas, Sape: The Community Binder dan banyak lagi.” Kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, CD bersiri iaitu Siri Sarawakiana juga turut dijual dan boleh dibeli dengan harga yang amat berpatutan dan harga untuk kesemua produk adalah dari lingkungan RM25 ke RM200 serta boleh didapati di tingkat bawah Pustaka Negeri Sarawak, Sibu di Bookshop Cafe.
Selain itu, Buku daripada penulis tempatan dari Sibu iaitu The Broken Tajau dan Encounters turut dipamerkan.
Bagi peminat bahan bersejarah, koleksi bahan bacaan Mendiang Ho Ah Chon juga ada dijual dengan harga RM30 setiap satu.
Sehubungan itu, Objektif kesemua penerbitan ini adalah untuk memelihara budaya dan warisan yang unik dari pelbagai etnik Sarawak serta untuk menjadi sumber intelektual yang kaya dan koheren bagi membantu memupuk penyelidikan tentang warisan budaya Sarawak.
Justeru, sesiapa yang berminat untuk menghasilkan karya yang serupa atau untuk membeli koleksi tersebut, sila berhubung terus dengan pegawai yang bertugas iaitu Afiza Ibrahim atau Sofea Sharif di talian 084-315200.
Untuk mengikuti sebarang aktiviti dan capaian kepada informasi menarik, boleh melayari di Pustaka Channel di Facebook @pustaka.sarawak, Youtube @Pustaka Sarawak, Twitter @pustakaswk, Instagram @pustakaswk dan Telegram Pustaka Negeri Sarawak.
sarawakvoice.com/2021/10/09
|