[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 7, 2021 @ 3:52pm[email protected]
Adenan (dua dari kiri) mengeluarkan saman terhadap lelaki atas pelbagai kesalahan termasuk memandu triler pengangkut tanpa lesen. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
NIBONG TEBAL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 136 notis saman berjumlah RM40,800 ke atas kenderaan perkhidmatan barang yang melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi di Stesen Penguat kuasa JPJ Valdor, di sini.
Operasi selama empat hari bermula Isnin lalu membabitkan lori membawa sampah, lori membawa mesin atau jentera berat dan trak tunda.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, berkata tiga kesalahan utama ialah pemandu tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL), tidak mempunyai Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan tiada cukai jalan.
Katanya, pemandu tidak mempunyai lesen ketika membawa kenderaan itu mengundang bahaya kepada pemandu lain, jika berlaku kemalangan jalan raya.
"Kita gesa pengusaha syarikat menggajikan pekerja yang cukup syarat dan mempunyai lesen dalam mengendalikan kenderaan perkhidmatan barang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Adenan berkata, 35 pemandu lori tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten dan 29 pemandu tidak mempunyai Lesen Kenderaan Perdagangan selepas anggotanya memeriksa 358 kenderaan.
Katanya, semua pemandu yang tidak mempunyai lesen ialah warga tempatan dan mereka tidak tidak dibenarkan meneruskan perjalanan menghantar barang sehingga ada pemandu gantian.