[size=0.8]Oleh Zuhainy Zulkiffli - September 30, 2021 @ 6:03pm[email protected]
Sebahagian daripada 13 individu yang dicekup polis ketika leka berjudi di dalam sebuah di kondominiun mewah di sini, di Bayan Lepas. - Foto PDRM
BAYAN LEPAS: Polis membongkar kasino mini di sebuah kondominium mewah di sini, menerusi serbuan Op Dadu pada jam 3.45 petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata polis menahan 13 individu yang sedang berjudi.
Katanya, mereka terdiri daripada penganjur dan pemain berusia di antara 31 hingga 69 tahun.
"Ketika serbuan, seramai sembilan wanita dan empat lelaki itu didapati sedang leka berjudi.
"Siasatan awal mendapati kondominium berkenaan disewa penganjur sejak pertengahan September bagi menjalankan aktiviti perjudian, di antara jam 12 tengahari hingga 8 malam setiap hari," katanya di sini, hari ini.
Rahimi berkata, polis menyita wang tunai berjumlah RM13,200, peralatan yang bermain judi, iaitu 935 keping cip pelbagai warna dan nilai, sembilan kotak daun terup, tablet, kerusi, meja dan alat tulis.
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai menawarkan perjudian kepada kenalan rapat sahaja bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.