London: Manchester United tersingkir dalam saingan Piala Liga selepas West Ham berjaya membalas dendam ke atas pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer dengan mencatat kemenangan 1-0 di Old Trafford.
Sementara itu Chelsea dan Tottenham terselamat dalam aksi penentuan penalti untuk mara ke pusingan keempat.
The Hammers Ahad lalu tumpas 1-2 kepada United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila David De Gea menyelamatkan sepakan penalti Mark Noble pada masa kecederaan sejurus selepas Jesse Lingard meledak gol kemenangan.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan David Moyes berjaya menebus kekalahan berkenaan tiga hari kemudian melalui gol Manuel Lanzini pada separuh masa pertama. - HMetro