|
London: Penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski dipilih pemenang Kasut Emas Eropah selepas meledak jaringan terbanyak musim lalu.
Pemain veteran berusia 33 tahun itu menjaringkan 41 gol dalam hanya 29 aksi Bundesliga membolehkan dia mengatasi pesaing lain termasuk Kylian Mbappe dan Erling Haaland.
Bintang Poland itu dalam ucapannya berterima kasih kepada Bayern yang memberi sokongan dan menekankan kepentingan kerjasama berpasukan sehingga melayakkan dia memenangi anugerah itu.
"Saya berterima kasih kepada keluarga, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan FC Bayern keseluruhannya.
"Tak mungkin saya meraih anugerah itu tanpa sokongan mereka. Dalam sukan sama seperti kehidupan. Amat penting jika anda hargai sesama sendiri, memberi sokongan, sama adil dan berusaha menjadi contoh kepada orang lain.
"Itu sebabnya saya tujukan anugerah ini kepada semua orang yang bersama saya hampir setiap hari. Saya sangat gembira dengan apa yang kami capai sebagai satu pasukan. Terima kasih segalanya,'' kata Lewandowski.
Lewandowski sangat berbisa di depan gol lawan sepanjang kariernya apabila meledak 230 jaringan dalam 231 perlawanan bersama Bayern sejak 2016 dan menembusi gawang lawan sebanyak 11 kali dalam tujuh perlawanan musim ini. - HMetro
|
|