Alor Setar: Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemindahan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, itu berkata beliau memandang serius mengenai dakwaan itu kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan terdahulu.
"Saya juga akan membuat pertimbangan untuk tindakan susulan berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah berdasarkan pandangan penasihat undang-undang.
"Tentunya sebarang kenyataan dibuat mestilah ada bukti tetapi apabila dakwaan liar dibuat dan dilaporkan secara meluas ia memberi gambaran buruk kepada saya sendiri, parti diwakili dan kerajaan terdahulu.
"Sedangkan, banyak perkara yang tidak jelas dalam kenyataan itu namun ia telah menimbulkan satu persepsi apabila lihat nama saya, angka RM13 juta, pemindahan wang dan Kanada, maka ada orang akan buat kesimpulan bahawa saya curi duit MBI," katanya pada sidang media dalam talian di sini, hari ini.
Mengulas lanjut , Mukhriz berkata, Muhammad Sanusi diminta memohon maaf dan menarik balik dakwaan terbabit sekiranya tidak mempunyai bukti dan membuat dakwaan tanpa asas.
Katanya, beliau menerima banyak mesej dan panggilan dari rakan termasuklah media sejak semalam yang bertanyakan topik yang hangat diperkatakan sedangkan dakwaan itu tiada asasnya.
"Dalam sidang media Menteri Besar pada hari ini, keadaan terbalik pula apabila Muhammad Sanusi menafikan dia menyatakan wang dimasukkan akaun di Kanada, kemudian dia menyatakan secara peribadi saya tidak tahu tentang perkara itu," katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi memaklumkan kesediaannya memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung pemindahan wang RM13 juta milik MBI Kedah ke luar negara.