Bukit Mertajam: Empangan Mengkuang yang ditutup tujuh hari sejak Rabu lalu susulan pengunjung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dibuka semula kepada individu yang menerima vaksi lengkap mulai esok.
Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, pusat rekreasi yang menjadi tumpuan warga Seberang Perai itu akan dibuka pada jam 7 pagi seperti kebiasaannya.
Bagaimanapun, hanya mereka yang menunjukkan vaksinasi lengkap dan mempunyai status risiko selamat di aplikasi MySejahtera sahaja dibenarkan memasuki empangan terbabit.
"Status vaksinasi lengkap bermaksud seseorang itu menerima dua suntikan vaksin Covid-19 selepas tempoh 14 hari suntikan kedua yang ia dipaparkan di daftar masuk aplikasi MySejahtera.
"Peraturan baru ini turut terpakai untuk semua pengunjung ke kawasan rekreasi awam lain di bawah kendalian PBAPP antaranya di Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Bukit Dumbar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, individu berusia 17 tahun ke bawah hanya dibenarkan memasuki kawasan empangan bersama ibu atau bapa mereka dengan syarat ibu atau bapa itu sudah lengkap vaksinasi.
Dalam pada itu, Jaseni berkata, anggota polis bantuan PBAPP akan meminta semua pengunjung untuk menunjukkan status vaksinasi lengkap pada peranti mudah alih mereka sebelum setiap kemasukan.
"Syarat ini tidak boleh dirundingkan bahkan pengunjung juga perlu memastikan bahawa mereka berisiko rendah sebelum memasuki empangan ini.
"Kita melaksanakan syarat-syarat ini kerana mematuhi peraturan dan undang-undang negara dalam pembukaan kawasan rekreasi kepada orang ramai di Pulau Pinang," katanya.
Jelasnya, PBAPP membuka empangannya dan Taman Bukit Dumbar sebagai khidmat awam untuk membolehkan rakyat melakukan aktiviti rekreasi yang menyihatkan.
"Seboleh-bolehnya, PBAPP ingin memberi rakyat Pulau Pinang akses untuk kemudahan rekreasi yang segar.
"Namun, jika kemudahan ini ditutup oleh pihak berkuasa, kami tidak boleh membenarkan orang ramai untuk masuk. Oleh itu, manfaatkan kemudahan rekreasi kami dengan selamat dan bertanggungjawab ketika pandemik ini," katanya.