MIRI: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kereta jenis Honda yang terbakar di Jalan Taman Awam di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataannya berkata, mayat Tan Kaw Tee, 61, ditemukan di dalam kereta itu selepas operasi memadam kebakaran berjaya dilakukan.
Menurut kenyataan itu, laporan mengenai kejadian itu diterima kira-kira jam 10.50 malam.
Sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, laporan awal mendapati bahawa kemalangan dipercayai berlaku setelah kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbakar.
sarawakvoice.com/2021/09/02
|