KUALA LUMPUR: Jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa.
Itu peringatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak kepada orang ramai di negara ini.
Menurut beliau, penipu terbabit menyasarkan golongan wanita yang kesunyian sebelum mendapat kepercayaan mereka merupakan antara modus operandi yang dilakukan satu sindiket penipuan melalui media sosial yang dikenali sebagai ”Parcel Scam’, sehingga mengakibatkan mangsa kerugian ribuan ringgit.
Jelasnya dalam satu kenyataan hari ini, sebanyak 115 kertas siasatan telah dibuka melibatkan sindiket penipuan itu sejak Januari hingga Ogos tahun ini di sekitar ibu negara membabitkan nilai kerugian keseluruhan kes tersebut berjumlah RM1,641,359.96.
“Kes terbaharu melibatkan tiga laporan polis dan kesemua mangsa telah berkenalan dengan seorang individu melalui media sosial,” katanya.
“Ketiga-tiga mangsa dalam kes tersebut merupakan ibu tunggal yang mana kenalan alam maya telah memaklumkan ada menghantar bungkusan dari luar negara dan mangsa kemudian diminta untuk membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan tersebut,” tambahnya.
Namun begitu, jelasnya, bungkusan yang dijanjikan tidak diterima dan kes melibatkan kerugian berjumlah RM31,500.
sarawakvoice.com/2021/09/02
|