JEFLY JELIUS (kiri), JAPRIN THOMAS (kanan)
KENINGAU: Penduduk di daerah ini masih berharap satu tindakan susulan yang berkesan bagi menangani isu haiwan peliharaan yang berkeliaran.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bandukan Lama, Jefly Jelius (gambar) berkata, penduduk kampung di daerah ini khususnya di Mukim Bingkor masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan dan juga pemilik haiwan itu sendiri.
“Surat pemberitahuan daripada agensi kerajaan untuk mengurung haiwan peliharaan yang berkeliaran sudah disampaikan kepada penduduk. Namun, kita melihat masih tiada tindakan susulan sama ada daripada agensi kerajaan mahupun daripada pihak pemilik haiwan ternakan itu sendiri.
“Jadi kita berharap juga agar pemilik haiwan dapat menangkap haiwan peliharaan mereka demi menjaga keselamatan penduduk dan kebersihaan kawasan sekeliling demi kebaikan semua pihak,” jelasnya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu, bagi penduduk Tonobon Baru Mukim Bunga Raya, Japrin Thomas (gambar) berharap agar isu haiwan peliharaan berkeliaran tersebut dapat ditangani dengan segera, berkesan dan berpanjangan serta tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Katanya, sudah tiba masanya masalah ini perlu diselesaikan dengan segera kerana bukan sahaja mengganggu kesejahteraan penduduk tetapi juga mengganggu keselamatan pengguna jalan raya dan kebersihan kampung.
“Sepatutnya bila pemilik haiwan peliharaan nampak yang kawasan-kawasan rumah penduduk lain berpagar, mereka sepatutnya faham yang mereka telah mengganggu ketenteraman dan keselesaan penduduk kampung yang lain, dan perlu bertindak untuk mengurung haiwan ternakan mereka.
“Selain itu, tentunya haiwan peliharaan berkeliaran ini memberi ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya dan mengganggu kebersihan kampung,” jelasnya.
Tambahnya, masalah ini sering disuarakan dan diharap dapat diselesaikan pada kali ini secara berkesan, dan seterusnya daerah ini bebas daripada isu haiwan peliharaan berkeliaran termasuk di kawasan-kawasan perkampungan.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|