Anggota bomba berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Isnin.
LIMBANG: Bergelut dengan pelbagai kes kecemasan tidak menghalang anggota serta pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan tahun ini dengan semangat patriotisme.
Bagi menunjukkan semangat cintakan negara, bomba Limbang berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer dengan memakai pakaian seragam sambil mengibar Jalur Gemilang pada Program Jalan Lasak Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2021 di Jalan Bypass, Jalan Tebabang dan Jalan Pandaruan pada Isnin.
Itu antara kelainan yang dilakukan anggota serta pegawai JBPM Limbang untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.
Ketua Unit Keselamatan Kebakaran Bomba Zon Limbang Azman Ibrahim berkata sekitar 30 anggota menyertai Program Jalan Lasak Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2021 yang disertai Ketua JBPM Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal dan Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Clarence D.Primus Tiandun.
Katanya meskipun bergelut dengan pelbagai kes kecemasan namun ia tidak menghalang anggota serta pegawai JBPM Limbang untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan berjalan kaki mengibarkan Jalur Gemilang.
Katanya ia sebagai tanda soladiriti mereka kepada negara dan semua petugas barisan hadapan yang kini sedang bertungkus-lumus dalam memerangai wabak COVID-19. “Pada masa sama program ini dapat meningkatkan kecergasan, meningkatkan semangat untuk bekerja dengan lebih keras di samping memerangi pandemik COVID-19,” katanya hari ini.
Azman turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64.
“Semoga negara kita berjaya memenangi perlawanan menentang ancaman virus COVID-19 dan pertahankan negara tercinta dengan menyematkan perasaan cintakan negara,” katanya lagi.
utusanborneo.com.my/2021/08/31
|