Penduduk rayu campur tangan kerajaan selesaikan masalah air
NOTIS: Penduduk mendakwa bekalan air tidak disambung mengikut masa ditetapkan
PENAMPANG: Penduduk Pangsapuri Beverly Hills Fasa 3 merayu campur tangan kerajaan negeri dengan masalah gangguan bekalan air berlaku sejak lima hari lalu.
Penduduk berasa kecewa dan bimbang masalah berkenaan sudah berlaku beberapa hari tetapi tiada sebarang usaha dilakukan pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.
Seorang penduduk Kenny Low mendakwa masalah air di perumahan itu berlaku sejak 2019, walaupun saluran paip lama sudah ditukar tetapi masalah bekalan air masih berlaku sehingga hari ini.
"Kami berhubung dengan pihak pengurusan tetapi mereka menuding jari ke arah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) "Apabila kami berhubung dengan JANS, kami diberikan jaminan bahawa tidak wujud masalah bekalan air ke perumahan ini," katanya di sini, hari ini.
Oleh itu, Kenny mempersoalkan apa yang sebenarnya berlaku dan syak sesuatu perkara negatif sedang berlaku tanpa pengetahuan penduduk.
Seorang lagi penduduk Stephanie Goh berkata, pihak pengurusan ada memberikan notis pemberitahuan kepada penduduk bahawa pada masa tertentu bekalan itu akan pulih seperti biasa tetapi sebaliknya ianya tidak mengikut jadual yang ditetapkan.
"Berdasarkan notis itu, bekalan air akan disambung semula dari jam 5 pagi sehingga 8 pagi, 12 tengah hari sehingga 1.30 petang dan 6 petang sehingga 9 malam.
"Bagaimanapun, baru-baru ini bekalan itu tidak disambung dari jam 12 tengah hari sehingga 7 malam," katanya.
Dia yang sudah menetap di perumahan itu selama 10 tahun menjelaskan pihak pengurusan tidak menepati janji yang diberikan.
Sementara itu, Mac Gabriel Liew menjelaskan penduduk sentiasa kecewa apabila masalah seumpamanya dibawa kepada pengetahuan pihak pengurusan menerusi panggilan telepon, mesej atau sebagainya.
"Penduduk di sini sangat susah untuk berkomunikasi dengan pihak pengurusan sebab mereka tidak akan menjawap panggilan kami walaupun ketika waktu pejabat.
"Kami juga menggunakan WhatsApp bagi mendapatkan jawapan tetapi tiada sebarang maklum balas yang diterima," katanya.
Esther Koh turut kecewa bahawa masalah berkenaan sudah diajukan kepada pihak pengurusan beberapa kali tetapi langsung tidak dilayan.
"Penduduk juga tidak berpuas hati kerana pihak pengurusan hanya menghantar notis pemberitahuan kepada beberapa penduduk sahaja melalui WhatsApp sehingga menyebabkan penduduk lain tidak bersedia untuk berhadapan dengan masalah air itu.
"Kami sudah penat dan sengsara dengan keadaan ini, pihak pengurusan seharusnya bertindak dengan lebih efisien dalam hal ini, ataupun kami lebih rela bertukar kepada pihak pengurusan baharu," katanya.
utusan borneo 2021-07-19T14:40:00+08:00
|