|
Edited by FanTasyCreaTioN at 10-7-2021 08:46 PM
Masalah hutang punca lelaki rakyat Indonesia bunuh rakan
BINTULU : Polis mengesahkan penahanan suspek utama kes bunuh yang dijumpai mati di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Sebauh, pada malam Selasa(6 Julai).
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata lelaki warganegara Indonesia berusia 30-an itu ditahan dalam serbuan di rumah pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Sebauh, pada jam 8.30 pagi Khamis.
Turut dirampas sebilah badik, masing-masing sehelai seluar pendek dan baju serta sebuah motosikal.
Susulan penahanan suspek utama itu, kita yakin kes pembunuhan tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.
"Kini kita dalam usaha melengkapkan kertas siasatan dan mengumpul bahan bukti kes untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.
Menurut Zulkipli, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara saspek dan mangsa.
Pihak polis juga menahan lapan individu terdiri daripada dua wanita dan enam lelaki bagi membantu siasatan,katanya lagi.
Dalam kejadian malam Selasa(6 Julai) kira-kira jam 10 malam, pihak polis telah menerima panggilan daripada seorang Pengurus sebuah ladang kelapa sawit di Sebauh tentang penemuan seorang pekerja ladang tersebut dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
Mangsa ditemui di dalam sebuah bilik rumah pekerja ladang berkenaan.
Menurut saksi mata, sekitar jam 8 malam mereka terlihat si mati berbual dengan saspek utama sebelum bertindak memecahkan cermin dan reban ayam milik penghuni lain, kata Zulkipli.
Katanya, saspek, kemudiannya, dilihat mengejar si mati sebelum kedua-dua mereka dilihat masuk semula ke dalam bilik dan tidak lama kemudian suspek dilihat keluar bersendirian dengan sebilah pisau di tangan.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959 /63 dan direman sehingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan.
|
|