Neymar (bertopi) ketika hadir meraikan majlis sambutan hari lahirnya awal tahun ini.
LONDON: Bintang Paris Saint Germain (PSG), Neymar dikritik selepas didakwa menganjurkan parti selama lima hari di sebuah resort berhampiran Rio de Janeiro, Brazil yang dihadiri 500 tetamu ketika korban coronavirus di negara itu melepasi 190,000 kematian.
Pemain bola sepak itu memiliki disko yang dibina dengan perlindungan akustik di bangunan tambahan di rumah agamnya di Mangaratiba berhampiran kawasan terkenal Rio, Green Coast untuk mengelak jirannya terdengar bunyi bising.
Menurut akhbar Brazil, O Globo, parti besar-besaran itu bermula pada 25 Disember dan akan berterusan sehingga sambutan tahun baharu nanti.
Neymar memiliki rumah agam berharga 6 juta pound (RM32.6 juta) dengan helipad dan jeti yang dibeli olehnya pada Oktober 2016 dan pertama kali digunakan pada cuti Krismas tahun terbabit.
Namun hartanah terbabit sedang menjalani pengubahsuaian dan bintang Brazil itu dikatakan menyewa villa mewah untuk parti terbabit.
Beberapa laporan lain pula menyebut Neymar menganjurkan parti terbabit di disko bawah tanah berhampiran kediamannya itu yang pernah digunakan sebelum ini.
Neymar juga dikatakan melarang tetamu daripada membawa telefon bimbit ke parti terbabit dan mengupah kumpulan pemuzik untuk melakukan persembahan sepanjang parti itu.
Antara yang dijemput adalah adiknya, Rafaella Santos dan selebriti internet Brazil, Camila Loures.
Peguam hak asasi manusia, Augusto de Arruda Botelho menulis ciapan 'anugerah terbodoh untuk hari ini ditujukan kepada Neymar kerana parti lima harinya.' |