Alexandre Lacazette (kiri) dipeluk Mohamed Elneny selepas ledak gol pertama ketika menentang Chelsa. - Foto EPA
LONDON: Mikel Arteta memuji barisan pemain Arsenal selepas menewaskan Chelsea 3-1, awal pagi tadi yang disifatkannya bakal menjadi titik perubahan buat kelab itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim ini.
Skuad bimbingan Arteta hanya dipisahkan tiga mata daripada zon penyingkiran sebelum perlawanan di Stadium Emirates itu selepas mengalami permulaan musim terburuk sejak 1974/1975.
Bagaimanapun, The Gunners mempamerkan prestasi terbaik mereka musim ini menerusi kemenangan ke atas seteru London itu.
Alexandre Lacazette membuka tirai jaringan menerusi penalti sebelum Granit Xhaka meledak gol kedua bagi membolehkan Arsenal mendahului 2-0 sebelum tamat babak pertama.
Bukayo Saka menjaringkan gol ketiga Arsenal selepas waktu rehat sekali gus memberikan kemenangan pertama pasukan itu dalam lapan perlawanan.
Tammy Abraham menjaringkan gol pada lewat babak perlawanan buat Chelsea yang turut menyaksikan Jorginho gagal menyempurnakan penalti yang diperoleh pada minit akhir permainan.
Arsenal kini dipisahkan enam mata daripada zon penyingkiran yang turut akan memberikan Arteta ruang untuk bernafas selepas timbul spekulasi yang dia akan dipecat hanya setahun membimbing pasukan itu.
"Ia kemenangan yang cukup penting bagi kami. Kami sangat kecewa dengan keputusan sebelum ini.
"Pemain dan peminat menderita dan hari ini adalah hari yang sangat istimewa. Tidak ada yang lebih baik daripada kemenangan ini...bermain dalam aksi Boxing Day, bermain dalam perlawanan tetangga London di Emirates dan mencapai kemenangan.
"Diharapkan ini akan menjadi titip perubahan dan meningkatkan tahap keyakinan pasukan. Saya tahu mereka boleh bermain pada tahap seperti ini," kata Arteta.
Dengan Brighton dan West Brom akan menjadi lawan seterusnya dalam jadual mereka pada Krismas kali ini, Arsenal mempunyai peluang untuk melonjak ke kedudukan yang lebih baik menjelang tahun 2021. |