PENTERNAK kerugian lebih RM1,000 selepas 60 ayam ternakannya dicuri tiga kanak-kanak di Kampung Jelutong, Batu 8 Lekir, Sitiawan, pada 26 Oktober lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu mula tular hari ini.
Kejadian berlaku pada 5.04 petang dan turut berulang pada sebelah malam dipercayai dilakukan individu sama.
Ahmad Lotfi Tarmizi, 57, berkata, kejadian itu dirakam CCTV yang dipasang di reban dan dipercayai dilakukan tiga remaja atau kanak-kanak lelaki.
“Ini adalah kecurian ayam kali ketiga dan masalah ini sudah berlaku sejak awal tahun lalu tetapi saya tidak pasti jika sebelum ini kecurian dilakukan orang sama atau tidak kerana ketika itu CCTV masih belum dipasang.
“Biasanya mereka melakukan kegiatan ini pada musim perayaan dan saya mengambil inisiatif memasang CCTV empat bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kejadian pada 26 Oktober lalu menyebabkan dia kerugian RM1,000 selepas tiga kanak-kanak berkenaan melarikan lebih 60 ayam dewasa dalam rebannya.
“Seekor ayam boleh dijual pada harga RM15 dan mereka melakukan kegiatan ini dua kali iaitu di sebelah petang dan malam.
“Pada sebelah malam mereka baru menyedari terdapat CCTV dan bertindak menutupnya. “Kecurian ayam selalu berlaku di kawasan ini kerana sebelum ini ada dua penternak turut menjadi mangsa,” katanya yang tinggal di Seri Manjung.
Katanya, susulan itu dia membuat laporan di Balai Polis Seri Manjung sehari selepas kejadian dan memuat naik video berkenaan di YouTube.
“Tujuan saya memuat naik video itu adalah sebagai pengajaran kepada masyarakat terutama remaja supaya kejadian ini tidak berulang lagi.
“Walaupun hanya ayam saja tetapi perkara ini perlu dipandang serius kerana jika tidak dibendung ia akan membawa kepada perbuatan yang lebih besar dan ia memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Terdahulu, sebuah video memaparkan tiga kanak-kanak memakai topi mencuri ayam dalam reban tular di FB sejak pagi tadi.
Video berdurasi 1.38 minit itu memaparkan dua kanak-kanak berada dalam reban memasukkan ayam ke dalam guni manakala seorang lagi menunggu di luar.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 3:19 PM