Foto: Detik.com
Mencetuskan sensasi kerana nekad untuk mendirikan rumah tangga walaupun pada mulanya tidak mendapat restu keluarga, pasangan suami isteri, Selamet Riyadi, 16, dan Rohaya, 71, nampaknya ada cerita menarik ingin dikongsi selepas lebih seminggu hidup bersama.
Sepertimana pasangan muda atau mereka yang baharu berkahwin, Selamet, yang 55 tahun lebih muda daripada Rohaya juga mempunyai perasaan cemburu terhadap isteri kesayangannya itu.
Bahkan, sifat itu bukan sahaja dimiliki oleh Selamet, tetapi Rohaya juga mempunyai rasa yang sama dan bimbang sekiranya suaminya ‘tergoda’ dengan gadis lain – yang pastinya lebih muda daripadanya.
Memetik portal Detik.com, remaja yang mula jatuh cinta kepada Rohaya selepas enam bulan mengenali wanita itu berkata, sifat cemburu itu adalah sebagai tanda dia menyayangi isterinya.
Kerana bimbang sekiranya ‘diganggu’ lelaki lain, Selamet akan mengunci Rohaya di dalam rumah apabila dia mahu ke kedai yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.
“Ya, (Rohaya) dikunci (di dalam rumah) kerana takut ada laki-laki lain masuk ke rumah ketika aku pergi membeli barang. Tetapi selepas pulang, (pintunya) dibuka semula,” kata Selamet memetik portal tersebut.
Berkongsi lebih lanjut, Rohaya, yang merupakan nenek kepada tiga cucu mengakui bahawa suami mudanya itu ada berbuat demikian, namun sebagai seorang isteri perkara itu adalah normal dan dia pasrah.
“Dia (Selamet) ini seorang yang cemburu, aku dikunci dari luar (kerana) bimbang aku melihat laki-laki lain,” kata Rohaya memetik ketika ditemui media di rumahnya di daerah Sumatera Selatan, beberapa hari lalu.
Selepas dikunci dari dalam, Rohaya keluar menggunakan pintu di bahagian dapur dan duduk menunggu suaminya di luar rumah.
Tidak lama kemudian, Selamet pulang dari kedai dan terus menarik Rohaya masuk ke dalam rumah, lapor Tribunnews.com. Walaupun dipaksa masuk ke dalam rumah oleh Selamet, Rohaya, yang pernah mendirikan rumah tangga tiga kali akur dengan tindakan itu lalu duduk disamping suaminya.
Rohaya menambah, sejak berkahwin, Selamet kerap keluar rumah dan pulang pada lewat malam. “Paling tidak, ke tempat gadis-gadis cantik,” ujar Rohaya.
Malah, Rohaya pula sempat berpesan kepada Selamet supaya tidak memandang gadis lain ketika mereka dalam perjalanan ke Jakarta bagi menghadiri rancangan ‘talk show’ di sebuah stesen televisyen swasta, baru-baru ini.
"Awas nanti kalau tergoda dengan gadis lain di sana (Jakarta) ya, aku tidak mahu,” kongsi Rohaya.
Dalam pada itu, pasangan suami isteri itu mengakui jika ada rezeki, mereka mahu dikurniakan anak.
"Kalau anak sudah tentu mahu, cuma itu berbalik kepada rezeki Allah. Kalau diberi, kami bersyukur dan mudah-mudahan dikurniakan anak,” kata Selamet.
Terdahulu, pasangan pengantin baharu itu melangsungkan perkahwinan pada 2 Julai lalu di rumah Ketua Kampung, Kuswoyo, yang terletak di Dusun 1 Desa Karangendah, Sumatera Selatan, Palembang, Indonesia selepas nekad mahu membunuh diri jika tidak dikahwinkan.
|