SAUDARA PENGARANG,
“BESAR rezeki kau Aaron dapat beli Vellfire!” Itu antara contoh dialog yang menggambarkan rezeki dari perspektif kebendaan, sedangkan tidak ramai menyedari bahawa kehidupan bahagia, tenang dan dikurniakan tubuh sihat juga adalah rezeki yang tidak ternilai harganya.
Tidak dinafikan, kehidupan kini yang cenderung materialistik telah mengubah perspektif seseorang terhadap rezeki. Malah rezeki yang ‘berkiblatkan’ kebendaan (perasaan tamak dan obses untuk mendapatkan sesuatu) secara tidak langsung menghakis sifat-sifat murni yang ada dalam diri.
Banyak kemudaratan akan berlaku jika tanggapan mengenai perspektif rezeki tidak diperbetulkan. Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak untuk mengutamakan keperluan berbanding kehendak.
Dalam konteks makan misalnya, apakah kita perlu mengeluarkan belanja RM100 setiap seorang untuk mengisi perut? Melainkan mampu, kita jangan menjadi hamba trend yang mana orang makan di restoran mewah maka kita pun mahu berbuat demikian.
Begitu juga keinginan memiliki kereta mahal. Ingat, kereta itu hutang. Carilah kereta yang bersesuaian dengan bajet. Jangan bergolok bergadai semata-mata mahu bersaing membeli kereta yang lebih mahal daripada jiran. Hakikatnya, persaingan kebendaan selalunya mempunyai pengakhiran yang tidak baik.
Sebelum terlewat, anak-anak perlu dididik agar bersangka baik dengan rezeki yang dikurniakan tuhan. Sesekali kita perlu membawa anak-anak keluar dan melihat sendiri kehidupan miskin rakan sebaya. Aktiviti sebegini dapat mendorong mereka menghargai rezeki.
Ibu bapa juga harus memberi contoh baik. Elak merungut jika berdepan kesempitan wang atau mengeluh di hadapan anak-anak jika kawan naik pangkat mendahului kita. Sikap sedemikian secara tidak langsung menunjukkan sisi putus asa seorang bapa, dan tentunya tidak elok untuk pembentukan sahsiah anak-anak.
Paling penting, beri kefahaman kepada anak-anak tentang kepentingan mendapatkan rezeki daripada sumber yang halal. Tunjukkan kepada mereka bahawa rasuah itu salah dan akan merosakkan institusi kekeluargaan dan negara.
Terangkan kepada anak-anak mengenai kaitan antara usaha dan rezeki. Orang yang duduk di rumah sambil bergoyang kaki tidak akan mendapat rezeki dengan cepat berbanding dengan orang yang walau duduk di rumah tetapi berusaha untuk mencarinya. Kita adalah contoh terbaik kepada anak-anak dalam menerangkan mengenai perkara ini kepada mereka.
Bersama kita didik anak kita dalam menjemput rezeki untuk 2017 ini. Walau apa rintangan ekonomi di hadapan kita, kekuatan kekeluargaan akan dapat mengatasi semua itu berbanding mengharungi perit jerih ekonomi bersendirian.
MOHAMMAD 
NOORIZZUDDIN NOOH
Timbalan Presiden
Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia