Firman Allah:
“Katakanlah (wahai orang yang beriman): kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada para nabi daripada Tuhan mereka; kami tidak membezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata” (al-Baqarah [2:136]).
Baginda dipuji dengan gelaran Ulul Azmi atau Utusan Allah yang sangat teguh keazamannya dalam dakwah (al-Ahzab [33:7], al-Syura [42:13] dan al-Ahqaf [46:35]).
Pada tempat lain, al-Quran membela Nabi Isa a.s. dengan cara yang lebih unik ketika baginda dicaci orang Yahudi sebagai anak luar nikah:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur,” (al-Nisa’ [4:163]).
Kronologi zaman para nabi dalam ayat ini kelihatan agak janggal kerana Allah meletakkan kedudukan nama Nabi Isa selepas anak-anak nabi Yaaqub, sedangkan baginda diutuskan jauh selepas zaman mereka. Allah sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana pasti mempunyai sebab kukuh dalam penyusunan ini.
Subhanallah! Rupanya Allah mahu membela dan mengangkat nama baginda seiring dengan para nabi Bani Israil (bermaksud anak-anak Nabi Yaaqub a.s.) yang lain. Pembelaan ini dibuat kerana Bani Israil sezaman baginda menuduh baginda sebagai anak luar nikah (rujuk ayat 156 surah al-Nisa’) (Tafsir al-Alusi dan Tafsir Fath al-Qadir oleh Imam al-Syawkani). Seolah-olah Allah mahu menempelak mereka secara sinis:
“Jangan sesekali kamu mencela Nabi Isa a.s sebagai anak luar nikah atau menafikan kenabiannya kerana Aku sendiri memuliakannya serta meletakkan namanya sejurus nama anak keturunan Nabi Yaaqub yang lain!”