Edited by mbhcsf at 20-12-2016 06:31 AM
Menangani Cabaran Peradaban TeknologiDitulis oleh Muhammad Husni bin Mohd Amin. Posted in Utusan Malaysia
Perkataan ‘teknologi’ yang muncul di Eropah pada abad ke-19 adalah gabungan tekhne dan logia bagi merujuk kepada bidang ilmu pembuatan (craftsmanship). Al-Khuwarizmi al-Katib, seorang ilmuwan yang hidup sekitar abad ke-11 dan penyusun eksiklopedia pertama di dalam sejarah Islam, Mafatih al-‘Ulum, menyebutkan teknologi sebagai hiyal dan sina‘ah. Ibn Khaldun, sejarawan dan pemikir abad ke-15 yang mengkaji turun naik peradaban Andalusia dan Afrika Utara, menyimpulkan sina‘ah sebagai seni pembuatan benda adalah hasil kebolehan akliah manusia untuk memahami, mengurustadbir, dan menguasai sains. Maka, sina‘ah ini ialah seni yang saintifik.
Ibn Khaldun juga meletakkan sina‘ah sebagai wajah penting peradaban di mana kehilangannya merupakan isyarat kepada titik permulaan kemerosotan sesuatu tamadun. Dengan itu, kemajuan teknologi adalah bersamaan dengan kemajuan pembandaran, dan penanda aras yang berkesan kepada ‘kesihatan’ sesuatu tamadun. Di sini dapat dilihat bahawa perkembangan sains dan teknologi bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah peradaban Islam. Bahkan ia adalah sesuatu yang sepadu dengannya.
Menurut sarjana Barat, Anderson Hunter Dupree, setiap teknologi mengandungi maklumat tentang peradaban yang telah menghasilkannya, termasuklah maklumat tentang seni pembuatannya, bahan yang digunakan, dan juga sains dan teknologi berkaitan yang wujud di zamannya. Keutuhan sesuatu teknologi terbukti apabila ia mampu menongkah arus zaman dan boleh dipelajari oleh generasi seterusnya. Dengan itu, teknologi sebagai alat berupaya memindahkan nilai dan pandangan alam daripada perekacipta kepada pengguna. Sebagai contoh, pemindahan teknologi seperti kereta tidak hanya terhad kepada kereta itu semata-mata, namun juga gaya hidup dan senibina yang mengelilingi konsep kereta itulah yang menatijahkan corak kehidupan di dalam sesebuah bandar.
Lihatlah penggunaan secara meluas pinggan-pinggan kertas dan polystyrene. Sungguhpun ia murah, bersifat pakai buang, dihasilkan dengan kuantiti yang banyak, akan tetapi tiada seni padanya dan tidak boleh digunakan berulang kali. Akan tetapi, suatu pandangan alam asing padanya telah mewujudkan dalam masyarakat budaya pakai buang dan membazir, disamping memenuhi tempat-tempat pembuangan sampah kerana bahan kimia yang digunakan dalam penghasilannya tidak terurai dengan mudah.
|