Edited by mbhcsf at 31-10-2016 09:35 PM
Irsyad Fatwa Ke-2 : Maksud Qada' dan QadarWritten by Admin PMWP.
Soalan : Nyatakan maksud Qada’ dan Qadar? Jawapan: • Qada’ Dari sudut bahasa Arab, Qada’ bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum. Manakala dari sudut syarak, Qada’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya samada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya.
• Qadar Dari sudut bahasa Arab, Qadar ialah menetapkan suatu kadar tertentu. Manakala dari sudut syarak, Qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahulu setiap perkara.
Perbezaan antara Qada’ dan Qadar Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.
Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qada’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir, antaranya:
• Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT: وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ Maksudnya: Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir. (Surah al-Ra’d: 8) Al-Maragi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang.
• Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT: وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ Maksudnya: Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu. (Surah al-Hijr: 21)
Sayyid Qutb berkata: Hanya kepada Allah SWT pulangnya segala sesuatu dan pulangnya setiap orang tepat pada waktu nya yang ditetapkan.
• Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT: إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir. (Surah al-Qamar: 49) Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.”
Kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta yang maujud ini.
Oleh itu, peraturan-peraturan tersebut merupakan undang-undang umum atau kepastian yang diikatkan di dalamnya sebab dengan musababnya, juga antara sebab dan akibatnya. Imam al-Nawawi Rahimahullah memberikan definisi takdir itu dan berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT sudah digariskan sejak zaman dahulu lagi.
Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang terjadi pada segala sesuatu tersebut dalam waktu-waktu yang telah ditentukan, sesuai dengan garis yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, terjadinya hal ini, pasti akan sesuai menurut sifat-sifat dan keadaannya yang khusus, tepat seperti yang digariskan oleh Allah SWT itu.”
|