Edited by mbhcsf at 20-10-2016 05:22 AM
IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-13: APAKAH ITU IJMA’ ?Written by Muhammad Fahmi Rusli. Mukadimah Seringkali kita mendengar dakwaan ijma’ berlaku pada satu-satu permasalahan.
Sesiapa yang tidak bersetuju akan dianggap sebagai menyelisihi ijma’ yang merupakan salah satu dari empat sumber hukum yang disepakati. Perkara asas yang perlu kita jelas, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ijma’ dan perkara-perkara yang berkaitannya. Justeru, Irsyad Usul al-Fiqh siri ini akan mengupas isu ini dengan lebih lanjut.
Definisi Ijma’ Di Sisi Fuqaha Imam al-Ghazali Rahimahullah mentakrifkan ijma’ dengan katanya: Persepakatan umat Muhammad S.A.W ke atas suatu perkara dari perkara-perkara agama. Lihat Syarah Mukhtasar Ibn Hajib, Mahmud bin Abd al-Rahman al-Asbahani (1/520).
Imam al-Thusi pula memberikan pendefinisian yang sedikit berbeza dengan katanya: (Ijma’ ialah) persepakatan para mujtahid pada suatu zaman dari kalangan umat ini di dalam perkara agama. RujukSyarah Mukhtasar al-Raudhah, Sulaiman al-Thusi (3/5).
Manakala Imam al-Zarkasyi Rahimahullah mengatakan: Ijma’ ialah kesepakatan para mujtahid umat Muhammad S.A.W setelah kewafatan baginda pada sesuatu kejadian di atas suatu perkara dari perkara-perkara di dalam satu-satu zaman. Lihat Bahrul Muhith, al-Zarkasyi (6/379-380).
|