Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan
Firman Allah: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah: 228).
Penjelasan ayat: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
Pengertian biasa yang dimaksudkan daripada ungkapan ini ialah supaya perempuan-perempuan itu menunggu tanpa kahwin sehingga habis tiga kali haid atau bayangan yang lain di samping makna biasa itu. Ia membayangkan wujudnya kegemaran dan keinginan yang kuat untuk mendirikan rumahtangga yang baru, iaitu keinginan jiwa yang menyeru mereka supaya menunggu dengan sabar serta bersikap waspada dan berhati-hati yang menyertai gambaran menunggu itu.
Ini adalah satu keadaan yang tabie kerana keinginan perempuan membuktikan kepada diri dan orang lain bahawa walaupun dia gagal tetapi masih berupaya menarik lelaki lain bagi membina sebuah kehidupan baru. Dorongan seperti ini tentulah tidak terdapat di dalam jiwa lelaki kerana dia yang menggugurkan talak, sedangkan dorongan ini kuat pada jiwa perempuan kerana dialah pihak yang digugurkan talak ke atasnya.
Memberi perhatian
Demikianlah al-Quran menggambarkan keadaan jiwa dari celah-celah kata pengungkapan dan memberi perhatian dan perhitungannya kepada keadaan ini.
Perkataan al-quru’ ialah kata nama yang membawa erti haid atau suci. Tetapi yang dimaksudkan ialah salah satu sahaja. Justeru, apabila seorang perempuan telah melalui tiga kali quru’ yang bermaksud suci atau haid maka genaplah idahnya.
Sesuatu hukum berkait dengan nama yang awal.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiga kali quru’.” Allah SWT menyebutkan perkataan quru’ dengan lafaz muzakkar dan menyebutkan huruf ha (ta’ marbutah) pada perkataan bilangan tiga. Ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan dengan quru’ ialahTahur yang dibaca dengan lafaz muzakkar.
Bagi kami dan sahabat Abu Hanifah, perintah yang mutlak dalam al-Quran bermaksud perlu dilaksanakan segera. Hal itu tidak boleh terjadi kecuali mengikut pendapat kami bahawa quru’ itu bermaksud suci. Hal ini kerana talak hanya boleh dijatuhkan ketika suci, bukannya ketika haid.
Firman Allah: “Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka.”
Ibn al-Arabi berkata: Ada tiga pendapat tentang ayat ini:
- Menyembunyikan tentang haid.
- Menyembunyikan tentang kandungan.
- Kedua-duanya sekali dan inilah pendapat yang sahih.