CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Ipo

NOVEL : GADIS KEBAYA MERAH

[Copy link]
 Author| Post time 12-6-2014 12:22 PM | Show all posts
BAB 26


SUDAH dua hari berlalu. Tok Imam Ngah masih berada di rumah Kudin. Esok dia akan mula bertolak balik ke kampung Pinang Patah semula bila merasakan semuanya sudah selesai kecuali Chad yang masih berada di alam bunian. Jo pula menumpang di rumah Kudin buat sementara waktu atas desakan Kudin sendiri. Senah dan Anum turut berada di rumah Kudin sebelum pulang bersama Tok Imam Ngah nanti.

"Nampaknya semua sudah selesai. Senah dan Anum macam mana? Nak balik ke kampung ke atau nak tinggal di sini?" Kudin pandang kedua gadis itu yang terpaksa tinggal di rumahnya buat sementara waktu.

"Saya nak balik kampung. Jumpa ayah. Rindu sangat kat ayah. Mungkin selama ni ayah bimbang bila saya tak balik kampung seperti selalu." Anum mengesat air mata. Masih segar di ingatannya bagaimana dia diperdaya Chad. Kononnya Chad ada berita penting tentang ayahnya. Tanpa syak apa-apa, dia jumpa Chad di sebuah restoran di bandar Kuantan. Kebetulan masa itu, dia menghadiri kursus mewakili syarikat tempatnya bekerja. Tak sangka, Chad sanggup menipunya dan diserahkan kepada Karim.

"Baguslah. Pak Sahak sudah lama suruh saya cari Anum tapi sebelum Anum pulang ke kampung, Jai minta Anum ke balai untuk buat laporan dan beri maklumat tentang sindiket itu." Kudin masih memerhati pada wajah putih Anum.

Senah jeling Kudin yang dari tadi asyik melayan Anum berbual. Dia yang berada di sebelah Anum, langsung tidak dipandang. Mentang-mentanglah kekasih hati ditemui semula, dia tidak diendahkan ketika ini.

Jo pula terdiam. Dia perasan Anum dari tadi memandangnya tidak berkelip. Mungkin Anum sudah tahu tentang siapa dalang di sebalik kejadian itu. Sejak di alam bunian lagi, Anum tidak senang dengan kehadirannya.

"Saya akan bekerjasama dengan pihak polis. Biar penjahat yang tak ada hati perut itu dihumban ke dalam penjara." Anum mengetap bibir. Matanya masih melekat ke arah Jo.

"Anum...sepanjang awak diculik, ada tak penjahat buat apa-apa pada awak?" Jo mula merasa bersalah. Dia memang tidak pernah tahu yang Anum adalah salah seorang mangsa dalam sindiket itu.

"Saya hampir dirogol tapi Karim menyelamatkan saya. Saya ingatkan Karim nak selamatkan saya dari sindiket tu tapi rupanya dia hanya selamatkan saya dari lelaki itu saja." Anum berkata sebak.

Masih terngiang di telinganya, Karim mengugut akan membunuh lelaki itu jika lelaki itu mengapa-apakannya pada malam dia ditempatkan di sebuah rumah kosong sementara menunggu berpindah ke sebuah rumah banglo yang penuh dengan perempuan muda pelbagai bangsa. Kata-kata Karim yang sedang marah pada lelaki itu membuatkannya merasa takut. Rupanya semua perempuan yang diculik masih anak dara, jika didapati sudah tidak ada dara lagi, maka perempuan itu akan menerima nasib yang sama dengan perempuan lain yang cuba menipu. Mereka akan dibunuh dan dilenyapkan mayatnya dari muka bumi ini. Nilai seorang perempuan yang masih dara adalah sangat tinggi. Permintaan tinggi dari luar negara terutama Jepun membuatkan sindiket itu semakin berani melebarkan sayapnya.

Jo tunduk. Dia semakin merasa bersalah. Dia faham perasaan Anum ketika ini. Gadis itu hilang selama hampir lima bulan. Tentu banyak kejadian pahit menimpa gadis itu sepanjang menjadi tahanan sindiket sebelum dibawa ke luar negara mengikut giliran. Selama itulah juga dia tidak pernah tahu Anum adalah salah seorang dari perempuan yang diculik itu.

Anum melihat tajam  ke arah Johan. Dia dapat rasa yang lelaki itu terlibat dengan sindiket itu sama seperti Karim kerana dia pernah terdengar Karim berbual di telefon dan menyebut nama Johan. Cuma dia tidak pasti siapa Johan yang dimaksudkan oleh Karim.

"Anum..saya akan tolong awak dalam hal ni. Awak jangan bimbang. Sekarang ni awak ikut kata Kudin. Esok pergi balai buat laporan polis." Jo pandang Anum yang mula tunduk. Titis jernih tumpah ke pipi putih  gadis itu.

"Habis saya macam mana?" Senah mula bertanya. Sejak tadi hanya Anum yang diberi perhatian seolah dirinya tidak wujud di situ dan tidak pernah terlibat dengan hal itu.

"Senah pun ikut sekali ke balai esok." Kudin mengalih pandang pada Senah yang duduk di sebelah Anum.

"Senah...awak kena bekerjasama dengan pihak polis. Beri maklumat mana yang awak tahu." Jo pandang pula Senah walaupun dia tahu lambat laun dia akan diheret ke penjara atas semua maklumat itu nanti. Dia sudah bersedia dengan semua itu. Teringat semasa di alam bunian, Senah dinikahkan dengan Jai dengan kehadiran wali, saksi dan juga tok kadi. Mungkinkah pernikahan Senah dan Jai sah? Matanya beralih pula pada Tok Imam Ngah yang dari tadi hanya menjadi pendengar setia.

"Tok..saya nak tanya sikit. Masa saya dan Jai berada di alam bunian, Jai dan Senah sudah dinikahkan di sana. Cukup dengan saksi, wali dan tok kadi. Saya dan Anum pula hanya berlakon saja, maksud saya..kononnya kami dah lama bernikah. Apa...sah ke pernikahan Senah dan Jai tu tok?" Jo mula bertanya pada Tok Imam Ngah bila teringat hal itu.

Anum pandang Johan yang mula mengungkit hal pernikahan yang tak pernah wujud itu. Setahunya pernikahan itu hanyalah untuk mengelak dari dinikahkan dengan orang bunian.

"JIka cukup syaratnya pernikahan itu adalah sah dengan syarat orang bunian itu adalah islam dan wali yang digunakan adalah wali hakim sama seperti manusia di dunia nyata ni. Cukup syarat ijab dan qabulnya. Pernikahan itu hanya sah di alam sana saja. Tapi tok galakkan Senah dan Jai bernikah sekali lagi di alam nyata ni jika benar-benar ingin hidup sebagai suami isteri yang sah. Biar terang dan jelas mengikut hukum dan syarat-syarat yang nyata di dunia nyata ni. Biarlah kita mengikut apa yang disyaratkan di alam nyata ni. Kita kena ingat, kita ni manusia dan mengikut peraturan manusia. Senah pun masih ada ayah lagi." Jelas Tok Imam Ngah.

Jo mengangguk-angguk. "Err..macam mana pula pernikahan jin dan manusia?"

"Kalau terjadinya pernikahan antara manusia dan jin, dalam hal ini para ulamak berbeza pendapat. Ada yang berkata makruh dan ada juga yang berkata haram. Jika ada hukum seperti itu bermakna dibolehkan tapi perhubungan itu sepatutnya diputuskan kerana manusia dan jin adalah dua jisim yang berbeza. Maksud jisim di sini, berlainan kejadian. Sama situasinya manusia tidak boleh bernikah dengan haiwan, pokok dan sebagainya. Allah s.w.t berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21, 'Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demeikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." Tambah Tok Imam Ngah.

"Apa kamu ada niat nak bernikah dengan jin ke?" usik Tok Imam Ngah bila melihat Johan beria bertanya.

"Tak naklah tok. Seram saya.." Jo sengih.

"Tapi kalau  isteri olok-olok tu boleh terima saya, ok jugak. Boleh nikah di alam nyata ni." Jo kenyit mata pada Anum.

"Saya nak cerai!" Laju saja Anum menjawab.

Kudin dan Senah hanya senyum gelihati melihat gelagat Jo dan Anum yang mula bertengkar manja.

"Kamu jangan nak berangan bernikah dengan orang bunian. Susah nanti. Dia orang tu banyak syaratnya. Lainlah kalau kamu dah jatuh cinta pada puteri bunian tu. Kamu ingat mereka tu cantik ke? Kita manusia ni jauh lebih cantik dari orang bunian tu. Allah telah jadikan manusia ni sebaik-baik makhluk. Mengapa kita nak pilih makhluk lain sebagai pasangan hidup kita?" Usik Tok Imam Ngah lagi.

Kudin angguk dan turut senyum. Dia pandang Jo yang sudah memandang ke arah Anum. Matanya menala pula ke arah Senah yang sudah sugul.

"Senah kenapa ni?" Kudin terus bertanya.

"Jadi..tok..saya ni dah jadi isteri sah abang Jai ke?" Senah sudah sebak. Dia pandang Kudin. Hatinya semakin  sebak.

"Kalau kamu suka pada Jai tu, eloklah nikah sekali lagi di dunia nyata ni. Ayah kamu masih ada di kampung." Tok Imam Ngah.

"Tapi tok..saya suka pada orang lain. Saya nak kena minta cerai ke?" Senah pandang Tok Imam Ngah dengan riak serius.

Anum dan Jo mula ketawa. Gelihati mendengar kata-kata Senah tadi. Senah terlalu serius dalam hal itu. Kudin pula hanya melihat Senah yang sudah mula cemas. Dia tahu siapa lelaki yang dimaksudkan oleh Senah tadi.

"Macam nilah. Kamu dan Jai hanya sah bernikah di alam sana. Alam ghaib. Kita hidup di alam nyata. Dunia nyata. Jadi, jangan risau, kamu dan Jai tidak ada apa-apa hubungan yang sah di dunia nyata ni." Ternag Tok Imam Ngah lagi.

Senah tunduk.

"Awak suka siapa?" Jo pula bertanya Senah.

Senah mendongak semula. Dia pandang Jo kemudian beralih pada Kudin. "Saya hanya bertepuk sebelah tangan.."

Kudin pula tunduk. Bukan dia tidak sudi memperisterikan Senah tetapi hati dan perasaannya pada Ana Dahlia. Sekarang ini dia juga sudah merasa seperti Senah, cinta tidak berbalas.

"Hmm...jodoh itu rahsia Allah. Apa yang kita perlu buat, berusaha mencari jodoh dan bukan hanya berserah saja.." Tok Imam Ngah pandang seorang demi seorang anak-anak muda di depannya.

Masing-masing diam seketika, melayan perasaan sendiri.
Last edited by Ipo on 8-8-2014 12:43 AM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 12-6-2014 01:27 PM | Show all posts
MANAKALA Ana Dahlia dan Jailani pula sudah mula bertugas setelah hampir dua hari bercuti kecemasan. Detektif Razif masih keliru dengan kehadiran Ana Dahlia dan Jailani yang muncul bertugas pada hari yang sama setelah menghilang hampir tiga hari.  Dari dalam biliknya, dia melihat Ana Dahlia dan Jailani begitu bersungguh berbincang sesuatu. Dia segera menghubungi Ana Dahlia.

"Ya Tuan?" Ana Dahlia menjawab panggilan Detektif Razif.

"Boleh masuk sekejap? Ajak Detektif Jailani sekali." Gagang telefon diletak.

Seketika kemudian, Ana  Dahlia dan Jailani mula melangkah masuk ke bilik Detektif Razif dan segera memberi tabik hormat. Mereka berdua dipersilakan duduk. Lama Detektif Razif memerhati kedua anak didiknya itu yang sekarang ini diberi tugas berat untuk  membenteras sindiket haram.

"Hmm..awak ke mana dua hari ni?" Soalan pertama diajukan pada Ana Dahlia. Detektif Razif pandang gadis itu tidak berkelip.

"Saya ada hal penting tuan! Saya cuti kecemasan." Ana Dahlia berkata agak kekok. Selama ini dia tidak pernah berbohong dengan bos mudanya itu. Terasa peluh mula menitik di bilik berhawa dingin itu. Dia cuba bersikap selamba dan seolah tiada ada yang berlaku.

"Tapi dalam borang cuti awak ni, tak dinyatakan sebab apa..kosong!" Detektif Razif hulur borang cuti Ana Dahlia yang diterimanya pagi tadi.

"Err...mungkin  saya lupa nak tulis tuan.." Ana Dahlia capai borang itu dan mula melihat. Memang dia tidak tulis apa-apa sebab pun di situ. Ah, takkan aku nak tulis aku dan masuk ke alam bunian? Mahunya tergolek Detektif Razif ketawakan aku nanti.

"Awak Jailani, tiba-tiba muncul macam Loki turun dari langit. Awak ke mana menghilang?" Mata Detektif Razif menala pula ke arah Detektif Jailani.

Mendengar kata-kata Detektif Razif tadi, Ana Dahlia cuba menahan ketawa. Boleh pulak bos mudanya tengok cerita fantasi macam tu?

"Err...saya pun ada kecemasan tuan!" Jailani turut menggelabah. Dia jeling Ana Dahlia yang sudah menekup mulut. Agaknya menahan ketawa dengan kata-kata Detektif Razif tadi.

"Apa-apa pun alasan kamu berdua, kamu berdua telah melanggar peraturan. Sebagai denda, cuti kamu berdua dibekukan. Awak Detektif Jailani, selagi awak ditugaskan di cawangan ini, selagi itulah awak kena mengikut peraturan di sini dan awak Ana, awak juga tidak boleh sesuka hati tidak hadir ke pejabat tanpa alasan kukuh. Gara-gara kamu berdua, operasi kita terpaksa ditangguhkan. Saya terima arahan dari pihak atasan, operasi ini mesti diketuai oleh Detektif Jailani. Jadi, saya terpaksa tangguhkan kerana awak berdua MIA!"Tegas suara Detektif Razif menutur sambil merenung tajam ke arah kedua detektif itu.

"Maafkan saya tuan!" Serentak Ana Dahlia dan Jailani bersuara.

"Saya nak surat tunjuk sebab atas meja saya selewat-lewatnya esok." Detektif Razif sandar di kerusi. Matanya masih tepat memandang Ana Dahlia dan Jailani yang mula tunduk.

"Ok, berbalik soal operasi, pihak polis telah mengenal pasti tempat persembunyian Tokey Chong dan orang-orangnya bersembunyi." Detektif Razif mula bangun dan menapak ke arah papan putih. Dia melakar sesuatu di atas papan putih itu.

Ana Dahlia dan Jailani mula memberi perhatian. Segala yang dikatakan oleh Detektif Razif dicatat dengan cermat. Detektif Razif masih memberi penerangan tentang operasi yang akan dibuat nanti.

"Setakat ni ada soalan?" Pandangan Detektif Razif kembali pada Ana Dahlia dan Jailani.

"Berapa ramai pihak kita akan ke sana tuan?" Jailani mula mengutarakan soalan setelah dibenarkan bersuara.

"Setakat ini, ada dua kumpulan yang terdiri dari lima orang satu kumpulan tapi kita telah arahkan Unit Tindakan Khas lain bersedia jika berlaku apa-apa nanti." terang Detektif Razif, menjawab soalan Jailani.

"Bagaimana dengan modus operandi kita untuk menyusup masuk ke gudang itu tuan?" Ana Dahlia pula bertanya. Dari tadi dia tidak berapa faham dengan penerangan Detektif Razif.

"Maksud awak?"

"Maksud saya, adakah secara berkumpulan atau individu atau ada team tertentu?" Terang Ana Dahlia tentang pertanyaannya tadi.

"Oh itu..kita menyusup secara team berdua. Kamu dengan Detektif Jailani. Dan cara untuk serbu pula mengikut arah berlainan. Kena ada orang yang standby di luar sementara yang lain menyerbu ke gudang itu." Detektif Razif senyum. Nampaknya Ana Dahlia sudah mula faham tentang operasi yang bakal dijalankan nanti.

Ana Dahlia mengangguk-angguk.

"Soalan lain?" Tanya Detektif Razif lagi.

"Tak ada tuan!" Jailani pula menjawab.

"Kalau macam tu, esok bersedia. Pakaian, saya harap kamu berdua sudah maklum. Esok, tepat jam 12 malam, kita akan mula operasi." Detektif Razif letak marker pen dan mula kembali ke tempat duduknya.

Ana Dahlia dan Jailani mula minta diri setelah memberi tabik hormat sebelum keluar dari bilik Detektif Razif.
Last edited by Ipo on 8-8-2014 12:44 AM

Reply

Use magic Report

Post time 12-6-2014 03:16 PM | Show all posts
semakin menarik... good job TT...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-6-2014 07:28 PM | Show all posts
BAB 27


PAGI lagi, selepas sarapan, Kudin menghantar Tok Imam Ngah, Senah dan Anum pulang ke kampung Pinang Patah. Sempat Senah dan Anum singgah di balai polis untuk membuat laporan dan memberi maklumat tentang sindiket itu. Sepanjang perjalanan pulang, banyak perkara yang dibualkan termasuk hal mistik yang dialami dulu. Bermula dengan kemunculan gadis kebaya merah, kemudian pula muncul sihir Mak Jemah dan kisah yang tak diduga, Chad dengan ilmu sihirnya, terbaharu, alam bunian.

"Abang Kudin, Senah tak sangka, abang Chad tu sanggup tipu Senah dan Anum. Nasib baik kami tidak sempat dijual." Senah turut menyampuk bila mendengar Kudin dan Tok Imam Ngah bersembang tentang hal itu.

"Alhamdulillah..Senah dan Anum selamat. Tentang Chad tu, biarlah undang-undang yang menghukumnya nanti jika dia didapati bersalah tetapi sekarang ni dia pun dah hilang di alam bunian tu." Kudin berkata dengan nada lega.

"Hmm..saya pun geram dengan Chad tu! Dia tipu saya hidup-hidup!" Anum mengetap bibir.

Kudin jeling Anum yang duduk di tempat duduk belakang bersama Senah. Tok Imam Ngah pula duduk di sebelah penumpang depan. Matanya beralih pada jam di dashboard. Hampir sepuluh pagi. Pedal minyak ditekan semakin kuat, kereta meluncur laju ke destinasi.

"Jo macam mana?" Anum pula bertanya hal Johan. Dia akan korek rahsia Jo dari Kudin. Dia tidak berani menuduh lelaki itu tanpa ada bukti yang kukuh. Setakat mendengar perbualan Karim saja tidak mencukupi tetapi Karim juga patut dihukum.

"Entahlah..tadi dia tergesa-gesa keluar dari rumah. Tak sarapan pun." Kudin teringat pagi tadi, Jo keluar dari rumahnya dengan tergesa-gesa setelah menerima panggilan dari seseorang.

"Saya rasa Jo tu ada kaitan dengan sindiket tu." Anum meneka sendiri.

"Tak baik tuduh Anum. Selagi tak ada bukti jelas, kita tak boleh sembarangan menuduh orang bersalah." Tok Imam Ngah menegur.

Anum diam. Dia tunduk dan kemudian melepaskan pandangannya ke arah luar tingkap kereta. Pemandangan sawah padi sungguh mendamaikan. Terasa semakin dekat dengan kampungnya. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk segera sampai dan dia sudah tidak sabar bertemu ayah tercinta yang sudah lama dirindui. Entah apalah keadaan ayahnya sekarang ini. Sihat ke dia?

Kereta Kudin mula membelok ke simpang kiri ke arah jalan masuk ke Kampung Pinang Patah setelah hampir tiga jam lebih memandu. Kudin menghantar Tok Imam Ngah dahulu dan kemudian memandu ke rumahnya. Kereta diparkir di laman rumah. Senah dan Anum turut keluar dari perut kereta. Jalan ke rumah mereka sukar untuk kereta masuk. Hanya muat basikal saja.

"Assalamualaikum!" Kudin mula beri salam.

"Wa'alaikumussalam!" Nek Tom muncul di muka pintu. Terkejut dia melihat Kudin pulang bersama Senah dan Anum. Dan lebih dia terkejut, Anum yang sudah sekian lama menghilang kini sudah berada di depan mata.

"Nek, siapa tu?" Kuyah jenguk ke muka pintu yang terbuka luas. Matanya tertancap pada Senah. Anum dia tidak begitu kenal.

"Abang Kudin kamu la. Dia bawa sekali Senah dan Anum!" Nek Tom sudah teruja.

Kusha dan Puan Karina pula menjenguk. Mereka berdua memang tidak kenal siapa Senah dan Anum.

"Nek, Kudin dah sampai ni. Bawa bunga dua kuntum." Kudin berkias sambil menjeling ke arah Senah dan Anum.

Nek Tom segera melangkah turun dan meluru ke arah Anum. Gadis itu dipeluk lama. Ada titis jernih mengalir di pipi. Lama wajah Anum ditatap. Terasa rindu pada anak Pak Sahak seorang ni.

"Alhamdulillah Anum selamat..syukur pada Allah." Sekali lagi Nek Tom peluk Anum.

Senah tunduk. Dia mula sebak dan cemburu. Nampaknya Nek Tom tidak pernah hiraukan kehadirannya di situ. Sejak dulu lagi, Nek Tom tidak begitu melayannya sebagaimana dia melayan Anum dan Ana Dahlia. Dia pandang pula Kudin yang tersenyum-senyum melihat gelagat Nek Tom dengan Anum.

"Abang Kudin, saya nak balik dulu. Ayah tentu risaukan Senna nanti." Senah berkata sebak. Dia mula ingin melangkah pergi dari situ.

"Nanti.." Kudin sempat sambar tangan Senah yang masih murung.

Senah mendongak.

"Nenek dah masak tu. Kita makan dulu sama-sama." Kudin pandang Senah yang sudah merajuk. Dia tahu Senah sejak dulu cemburukan Anum.

"Ha'ah Senah. Makan dulu. Nek Tom dah masak ni. Lauk kegemaran Senah pun ada." Nek Tom mula sedar tingkah Senah yang sudah merajuk sakan.

"Yalah Senah. Alhamdulillah kau pun selamat." Kuyah peluk Senah, cub aambil hati gadis itu. Dia juga tahu Senah cemburu dengan Anum. Itu yang diceritakan oleh abang Kudin dulu tentang kisah cintanya sejak sekolah tetapi sekarang rasanya keduanya melepas bila abang Kudin sukakan Ana Dahlia.

Senah menangis di bahu Kuyah. "Kuyah..terima kasih.."

"Dah, jom naik ke rumah." Nek Tom mengajak semua naik ke rumah dan menjamu selera hidangan tengahari.


DI RUANG DAPUR, mereka semua menikmati juadah tengahari bersama. Masing-masing senyap. Hanya kedengaran  sudu berlaga dengan pinggan lauk saja. Nek Tom pula sibuk menambah lauk dan nasi. Sudah lama dia tidak merasa makan beramai-ramai seperti itu. Seronok melihat masing-masing berselera menikmati ikan keli berlada, ayam kampung masak lemak cili api, sambal belacan, sayur kangkung goreng belacan dan ulam-ulam. Walaupun  tidak mewah tetapi cukup membuat tetamunya menambah-nambah.  Matanya beralih pada Senah dan Anum yang begitu berselera seolah tidak pernah jumpa lauk seperti itu.

"Nek, nak tambah lagi!" Senah hulur pinggan nasinya. Senyumannya semakin lebar.

"Ha'ah la nek. Anum pun nak tambah lagi, boleh?" Anum turut menghulur pinggan nasinya kepada Nek Tom.

"Sedap ke?" Kudin senyum.

Senah pula pandang Kudin. Asyik tanya Anum saja. Dia muncung. Nasi yang diceduk atas pinggannya tadi dimakan laju.

"Sedap! Dah berbulan saya tak makan macam ni. Asyik nasi kosong dan ikan kering je. Kedekut betullah Karim jahat tu!" Anum mengetap bibir. Teringat ketika dia dikurung dulu, asyik melantak nasi kosong dengan ikan kering. Badan pun dah jadi macam ikan kering.

"Betul tu. Naik juling tengok ikan kering tu." Senah mengiakan kata Anum. Walaupun tadi dia seperti cemburu pada Anum tetapi dia tidak simpan dalam hati. Anum tetap sahabatnya sejak sekolah.

"Makanan kat sana macam mana?" Kudin teringat Senah dan Anum terperangkap hampir seminggu lebih di alam bunian.

"Sana?" Senah pandang Kudin. Berkerut dahi.

"Tempat yang ada bunga mawar putih tu.." Kudin tidak berkata terang-terangan bimbang banyak soalan nanti dari nenek. Kusha, Kuyah dan Puan Karina juga tidak perlu tahu tentang hal itu. Benda mistik susah untuk otak percaya.

"Oh...hari-hari kami makan sayur bang. Puas makan sayur, makan buah. Tak ada langsung ikan ke, ayam ke, daging ke..agaknya mereka tu tak makan binatang kut.." Senah sengih. Dia habiskan nasi dalam pinggan.

"Errkkk! burp!" Senah cepat-cepat tutup mulut. Sendawanya tadi jelas kuat.

Semua yang ada di situ ketawa mengekek. Senah hanya sengih. Dia sudah biasa dengan situasi itu.

"Mereka? Siapa?" Kuyah masih tidak faham.

"Penjahat tu la.." Anum cepat-cepat mencelah.

"Tadi kata makan ikan kering dan nasi je. Mana datang sayur dan buah tu?" Kuyah masih bertanya.

Nek Tom senyum. Sejak Kuyah tinggal dengannnya, Kuyah memang banyak persoalan dan pertanyaan itu ini. Selagi tidak dijawab dan memuaskan hatinya, selagi itulah Kuyah akan bertanya.

"Sudahlah. Makan tu. Lepas ni abang hantar Senah dan Anum ke rumah masing-masing." Kudin buat-buat tak dengar.

"Kudin, mama minta maaf. Selama ni mama banyak buat salah pada Kudin." Puan Karina akhirnya bersuara. Dari tadi dia ingin bercakap tetapi banyak cerita dari anak-anak muda di sekelilingnya itu. Dia beri peluang kepada mereka dulu.

"Mama..sudahlah. Perkara yang dah berlaku, biarlah ia pergi. Let bygone be bygone. Sekarang ni, kita tumpu pada kehidupan sekarang ni. Kudin tengok mama pun dah banyak berubah. Sudah menutup aurat dengan sempurna. Kusha pun sama. Abang gembira sangat." Kudin senyum lebar. tadi lagi dia merasa lega melihat perubahan Puan Karina dan Kusha yang sudah jauh berubah.

"Terima kasih Kudin. Mama ingat nak tunaikan umrah bersama Nek Tom dan bawa sekali Kusha dan Kuyah. Kudin ikut sekali ya?" Puan Karina pandang Kudin dengan wajah sugu.

"InsyaAllah mama. Apa kata kita pergi bulan ramadhan nanti?" Usul Kudin. Kebetulan bulan puasa pun tidak lama lagi.

Puan Karina senyum. Matanya melirik kepada Anum dan Senah. Dia turut senyum.

"Bila Kudin nak bernikah?" Puan Karina mula bertanya soalan cepu mas.

Tersedak Kudin mendengar pertanyaan Puan Karina. Dia segera menyapu mulutnya yang sedikit comot. Matanya beralih pada Anum dan Senah.

"Terus terang sajalah abang. Sekarang ni abang suka kat siapa sebenarnya?" Kusha menjeling manja pada Kudin.

"Abang kena pilih betul-betul...kak Ana tu macam mana?" Kuyah jeling Senah dan Anum. Dia lebih suka Ana Dahlia yang menjadi kakak iparnya. Senah dilihat tidak sekufu dengan Kudin. Anum pula, abang Kudin sudah lama lupakan kisah cinta sejak sekolah dulu itu.

Senah cepat-cepat mendongak dan memandang Kudin. Jadi, memang betullah Kudin sukakan Ana Dahlia?

"Hish! Abang tak ada sesiapa la." Kudin mula bangun dan basuh tangan.

Mereka yang lain hanya senyum melihat tingkah Kudin yang nampak malu-malu. Anum pula tunduk. Kini dia tahu, Kudin sudah berputus asa dengan cintanya dulu. Senah juga turut tunduk memikirkan kisah cintanya yang tak kesampaian.

Selepas menjamu selera, Kudin mula menghantar Senah dan Anum ke rumah masing-masing.
Last edited by Ipo on 8-8-2014 12:44 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-6-2014 08:28 PM | Show all posts
PULANG dari menghantar Senah dan Anum tadi, Kudin menghala pula ke sawah padi dan berehat di pangkin, tempat dia selalu berehat dulu sambil menikmati udara segar dan angin sepoi bahasa yang menghembus sungguh terasa nyaman dan mendamaikan. Ketika ini teringat perkampungan orang bunian yang dia masuk dulu. Itulah pertama kali dia dapat melihat suasana dan kehidupan penduduk orang bunian di situ. Kudin perhati pula pada sawah padi yang sudah dituai. Kini hanya tinggal petak sawah yang sudah dibajak semula untuk tanaman seterusnya. Melihat itu semua, dia bersyukur kerana ternyata alam nyata jauh lebih indah dan sedap mata memandang berbanding perkampungan orang bunian. Itu yang dia rasai sebenarnya.

"Hmm..apa khabar agaknya Chad di sana? Entah-entah Chad sudah bernikah dengan puteri bunian tu. "Kudin mengeluh.

Pesanan Tok Imam Ngah supaya tidak mendekati apa lagi mengahwini golongan makhluk halus itu dipegang kuat. Mana mungkin kehidupan manusia nak disamakan dengan kehidupan orang bunian, alam ghaib yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Memang tidak dinafikan ada pernikahan berlaku di antara orang bunian dan manusia di dunia ini. Namun, semua itu bersyarat. Buat apa nak menyusahkan diri dengan semua itu sedangkan Allah s.w.t telah menjanjikan jenis yang sama untuk manusia menikmati alam rumahtangga.

Sekali lagi Kudin melepaskan keluhan sambil memandang jauh ke tengah sawah yang tidak lagi menghijau. Fikirannya mula teringat pula pada Ana Dahlia yang kini sudah diketahui siapa gadis itu sebenarnya. Tadi, Kusha sudah beritahu kepadanya siapa Ana Dahlia. Terkejut juga pada mulanya, ya la, selama ini dia tidak ingin percaya yang gadis tinggi lampai itu adalah seorang pegawai polis berpangkat detektif dan sudah menjalani latihan berat. Sama juga dengan Jai, sungguh tidak sangka.

"Nampak sangat aku ni bodoh. Patutlah Ana Dahlia sampai sekarang tidak beri jawapan pada aku. Mungkin dia tunggu Jai." Sekali lagi Kudin melepaskan keluhan. Kini dia pasrah tentang siapa jodohnya yang sebenar. Jodoh itu rahsia Allah. Walau macam mana hebat pun cinta pada seorang itu, jika Allah tidak mengizinkan, maka tidak terjadi pernikahan antara keduanya.

Tadi masa menghantar Senah ke rumah setelah menghantar Anum, Senah kelihatan sugul dan merajuk. Siapa yang tidak merajuk bila cinta tidak diendahkan. Siapa yang tidak kecewa bila kekasih hati menyintai orang lain. Begitulah juga dengan dirinya, kecewa seandainya Ana Dahlia memilih Jai. Saat ini, dia mula teringat Jo yang juga seperti menaruh hati pada Ana Dahlia. Dari riak Jo pada malam pertemuan di taman bunga di perkampungan bunian itu, dia perasan, Jo asyik memandang Ana Dahlia. Macam mana Jo kenal dengan gadis itu?

"Ah! Pening otak aku fikirkan semua ni." Kudin mula bangun dari pangkin dan berjalan melalui batas sawah melihat keadaan sekitar. Dia senyum bila terpandang petak sawah yang pernah Ana Dahlia jatuh dulu.

Kakinya terus melangkah melalui batas sawah menuju ke rumah neneknya. Esok dia akan kembali ke KL semula. Puan Karina dan Kusha nampaknya lebih senang berada di rumah nenek. Kuyah juga seperti tidak mahu kembali ke KL semula.

Kudin capai telefon bimbit dalam poket seluarnya yang mula berdering. Dia lihat skrin telefon. Nama Johan terpapar di situ.

"Hello! Jo!" Kudin sengih. Namun senyumannya bertukar cemas bila dia mendengar suara Jo di hujung talian ada nada cemas dan panik. Seolah sesuatu telah berlaku. Sempat dia menangkap kata-kata Jo yang terakhir sebelum talian putus. Ditambah lagi dengan isyarat penerimaan yang tidak begitu memuaskan di kampungnya.

"Gudang? Buat apa dia ke situ?" Kudin berkerut kening. Dia pasti Jo tentu ada masalah. Dari apa yang diceritakan oleh Jo tadi, dia tahu di mana tempat itu.

Langkahnya dipercepatkan. Kudin tergesa-gesa menuju ke rumah nenek. Dia perlu kembali ke KL hari ini juga.





Last edited by Ipo on 8-8-2014 12:45 AM

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-6-2014 09:13 PM | Show all posts
BAb 28


SAMPAI di KL sudah hampir waktu maghrib. Kudin segera menunaikan solat maghrib sebelum keluar semula. Dia perlu  tahu apa yang telah berlaku pada Jo. Keretanya dipandu laju menuju ke satu tempat yang agak terpencil. Dari bandar KL, dia menuju ke hulu langat ke arah Kajang.Melalui lebuh raya LEKAS,dia membelok pula ke arah Mantin dan tembus ke Beranang. Jalan itulah yang dimaksudkan oleh Jo tadi.

"Hmm..betul ke ni?" Kudin jenguk keluar tingkap kereta. Dia melihat papan tanda. Kawasan perindustrian Beranang.

Keretanya membelok pula ke kiri. Di kiri kanan jalan hanya ada hutan dan juga kilang. Dia memandu terus jauh ke dalam. Kali ini dia tidak nampak gudang yang dimaksudkan oleh Jo. Melilau dia melihat keadaan di sekitar kawasan itu.

"Takkan nak kena masuk belukar tebal tu? Dah la malam-malam ni." Kudin garu kepala.

Dia berhentikan kereta di tepi jalan. Lampu jalan pula agak jauh jaraknya antara satu sama lain. Kudin mundar mandir di situ. Dia mula serba salah. Jelas dia mendengar suara Jo di talian tadi seperti cemas dan panik.

"Apa sebenarnya yang sudah berlaku?" Kudin sandar pula di tepi keretanya. Lama dia berfikir di situ. Sesekali dia melihat jam. Hampir sepuluh malam.

Kudin cuba menghubungi Jo tetapi talian tidak menembusi kawasan belukar itu. Dia mundari mandir lagi di tepi kereta. Masih memikirkan apa yang perlu dilakukan.


DI GUDANG, di dalam sebuah bilik kecil, kelihatan Tokey Chong merenung tajam ke arah Jo yang sudah diikat kedua tangannya di belakang kerusi. Bibir Jo sudah berdarah. Pipi pula sudah lebam dan bengkak.

"Lu mana mau lari ha??" Tengking Tokey Chong.

Jo diam. Celaka punya Karim! Dia perangkap aku rupanya! Pagi tadi, Karim menghubunginya dan beria menyuruhnya datang ke sebuah restoran di pekan Beranang. Katanya ada masalah besar. Sebaik tiba di situ, Karim mengajaknya pula ke sebuah gudang lama.

"Gua tanya! Mana itu pelempuan??!!" Tokey Chong cengkam kedua pipi Jo dengan kuat.

Jo diam lagi. Dia tidak perlu menjawab soalan lelaki gemuk itu. Buruk sungguh melihat bentuk badan lelaki itu yang berperut buncit dan berkepala botak.

Satu tumbukan padu singgah di pipi kanan Jo. Terteleng Jo ke arah kiri. Darah memercik dari mulutnya.

"Mana itu pelempuan??!!" Sekali lagi Tokey Chong menengking.

"Gua sudah jual sama itu Tokey Yashimoto!" Jo berbohong.

"Hah?? Lu sudah jual?? Lu ingat ini bisnes bapak Lu punya ka??" Toeky Chong tumbuk lagi muka Jo. kali ini tergolek Jo bersama kerusi ke lantai.

Pembantu Tokey Chong segera mengangkat semula.

Jo ketawa terbahak-bahak. Puas melihat bisnes Tokey Chong lingkup! Sejak dulu dia tidak suka pada Tokey Chong yang selalu mengugutnya dengan   budinya yang menyelamatkannya dari dipukul sekumpulan penjahat itu. Jika dia malas hendak memenuhi permintaan Tokey Chong, alasan itulah yang selalu digunakan.

"Sekalang..beritahu gua. Berapa lu jual sama itu olang Jepun? Mana itu wang??" Tokey Chong cengkam pula rambut Jo sehingga terdongak Jo.

Jo melihat muka bengis Tokey Chong yang semakin menyinga. Dia tahu, lelaki berkepala botak itu tidak akan bertolak ansur dalam hal itu. Pernah dia melihat lelaki itu dengan selamba menembak orangnya sendiri yang membuat kesalahan.

"Gua tak ada wang tu!" Jo meludah ke muka Tokey Chong.

Tokey Chong menyapu perlahan. Dia senyum. Nampaknya lelaki yang pernah diselamatkannya dulu itu mahu berpaling tadah. Dia pandang Jo seketika. Kemudian dia memberi isyarat pada pengawalnya supaya mengambil sesuatu. Pengawal itu kembali dengan pemotong besi yang agak besar.

"Sekalang...beritahu gua sekali lagi. Mana itu wang?" Tokey Chong letak pemotong besi itu di jari Jo yang sudah terikat ke belakang.

Jo menelan liur. Dia tahu Tokey Chong tidak akan teragak-agak memotong jarinya nanti jika dia tidak beri jawapan yang memuaskan hati lelaki gila itu.

"Gua sudah kasi sama itu Karim. Dia sorokkan di satu tempat. Kalau lu mahu tahu, tanya Karim." Jo berbohong. Biar Karim tahu siapa yang lebih bijak.

"Lu ingat gua percaya sama Lu?" Tokey Chong ketawa berdekah-dekah.

"Betul! Gua cakap benar! Tanya Karim!" Jo meninggikan suara. Benci sungguh mendengar suara ketawa mengada-ngada Tokey Chong itu.

"Karim sudah mampus! Dia lagi talak guna punya olang!" Tokey Chong ketawa lagi.

Jo sekali lagi menelan liur. Kali ini dia melihat Tokey Chong sudah berhenti ketawa. Dia dapat rasa jarinya sudah dikepit sesuatu.

"Aaaaaaarrrrrrrrgghhh!!!" Jo meraung kesakitan. Terasa jarinya sudah hampir putus.



KUDIN yang masih melilau di sekitar itu terhenti melangkah. Suara menjerit kuat itu jelas di telinganya. Sekali lagi dia memasang telinga. Suara jeritan itu sekali lagi bergema kuat. Sekarang dia pasti, suara itu datangnya dari gudang lama di sebelah kirinya itu. Dia melangkah berhati-hati ke arah gudang itu. Semak kecil itu dipijak berhati-hati, takut terpijak ranting kayu. Sudah tentu bunyi derapan ranting dipijak akan didengari pengawal di luar gudang itu nanti.

Kudin mengendap perlahan melalui lubang dinding kayu yang berlubang.  Dia terbeliak. Apa yang dilihat tadi sungguh tidak berperi kemanusiaan langsung!
Last edited by Ipo on 8-8-2014 12:45 AM

Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 13-6-2014 12:10 AM | Show all posts
best cerita ni. i like
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2014 12:15 AM | Show all posts
DI DALAM bilik kecil, Jo sudah pengsan. Tokey Chong mengambil sebaldi air dan mencurah ke muka Jo. Jo tersedar semula. Matanya sudah tidak mampu dibuka. Pandangannya sudah berpinar-pinar. Wajah Tokey Chong dilihat semakin kabur. Seperti orang mabuk, lelaki bertubuh gempal dan berkepala botak itu dilihat sudah semakin dekat dengannya. Rambutnya yang sudah basah kuyup direntap kuat.

"Lu dengar sini! Kali ini, gua mahu Lu tunjuk mana itu wang disembunyikan. Kalau tidak, Lu punya adik, gua kasi sama itu Tokey Botak Chin. Sekalang Lu pilih." Tokey Chong ketawa terbahak-bahak.

Mendengarkan kata-kata Tokey Chong itu, Jo cuba buka mata seluasnya. Dia gagahkan diri dan pandang pada Tokey Chong yang tidak berhati perut itu. Wajah ketawa lelaki botak itu dilihat penuh benci.

"Lu jangan kacau adik aku!!!" Jo menjerit sekuat hati. Tidak sangka, sejauh itu Tokey Chong mengugutnya. Adik perempuannya yang tinggal bersama ibu yang sudah bercerai dengan ayah tiri, dapat dijejaki oleh lelaki laknat itu.

"Hahahaha!!!" ketawa Tokey Chong semakin kuat.

"Bukan gua yang cari adik Lu tapi itu bapak tiri Lu yang jual itu pelempuan pada gua! Bapak Lu pun sama talak guna punya olang!" Ketawa Tokey Chong semakin menjadi-jadi.

Jo mengetap bibir dengan kuat. Tak guna punya bapak tiri! Dia meludah ke lantai. Memang sejak dulu dia tidak rapat dengan adik perempuannya setelah ibu bercerai tetapi Johana tetap adiknya.

"Mana adik gua??" Jo pandang Tokey Chong dengan riak meluat.

Tokey Chong petik jari memberi isyarat kepada orangnya yang berdiri di situ sejak tadi. Lelaki itu keluar dan seketika kemudian masuk semula bersama seorang gadis. Jo pula pandang pada gadis itu yang kelihatan kusut masai rambutnya. Memang sah itu adiknya, Johana!

"Abang..." Johana berkata sayu, sayu melihat abangnya diseksa teruk oleh Tokey Chong. Jelas dia melihat jari abangnya dipotong. Darah masih galak menitik.

"Lu jangan apa-apakan adik gua. Gua akan beritahu di mana wang itu berada." Jo terpaksa mengaku kalah walau sebenarnya dia juga tidak tahu bagaimana nak mencari wang yang sememangnya tidak wujud itu.

"Bagus! Sekalang, beritahu mana itu wang?" Tokey Chong mengarahkan orangnya membawa keluar adik Johan keluar dari situ.

"Sebelum tu, lepaskan adik gua dulu." Jo inginkan keselamatan adiknya dahulu.

"Mana itu wang? Baru gua lepaskan adik Lu!" Ugut Tokey Chong, Jo diberi pilihan lagi.

"Baiklah! Wang tu ada berdekatan sebuah rumah tempat kurungan nombor empat. Ada sebatang sungai di situ. Lu kena ikut hutan kecil dan lalu ikut arus sungai. Lu akan nampak pokok yang ada bunga putih. Wang itu ditanam di bawah pokok itu." Jo senyum sinis.

"Hoi! Lu ingat ni mau cari jalan ka? Lu sendiri tunjuk itu tempat!!" Tokey Chong rentap lagi rambut Jo.



DI LUAR, Kudin masih memerhati dan mendengar perbualan mereka. Dia senyum sendiri. Jawapan Johan tadi sengaja untuk memerangkap penjahat itu masuk ke alam bunian.

"Jadi..selama ni Jo ada adik perempuan?" Kudin berkerut kening.

Ini tak boleh jadi. Dia mesti selamatkan Jo dan adik perempuan Jo walau apa sekali pun. Sekali lagi dia memasang telinga.

"Huh! Biar dia orang tercampak ke alam bunian tu. Baru tahu langit tinggi rendah. maunya dihukum sula nanti oleh orang bunian.." Kudin berkata dalam hati.

Kudin berpaling ke belakang. Dia terdengar ada sesuatu di belakangnya. Dia cuba mencari arah derpan kaki tadi. Lantas, Kudin sembunyikan diri di sebalik pokok yang agak rendang yang boleh menyembunyikan tubuhnya. Jelas dia melihat pengawal tadi sedang memerhati sesuatu. Matanya melilau melihat kelibat yang tiba-tiba berlari pantas dekat dengan pintu gudang. Susuk tubuh itu dilihat memakai pakaian serba hitam.

"Ah..takkan orang sindiket tu. Tadi dia berkawal di muka pintu." Kudin masih sembunyi di situ. Dari tadi dia berfikir cara untuk menolong Jo dan melepaskan adik Jo.

Kudin terkejut. Tiba-tiba pengawal yang berjaga di muka pintu itu rebah. Pistol di tangan lelaki itu terlepas ke tanah. Liar Kudin melihat sekitar. Mana tahu ada kumpulan penjahat yang lain menyerbu kawasan itu dan bergaduh dengan kumpulan penjahat yang ada di dalam gudang itu.

"Hmm..nampaknya ada penembak senyap di sini.." Kudin memerhati tajam ke arah datangnya kelibat hitam tadi.

Sekali lagi dia terkejut, seorang lagi pengawal rebah ke bumi. Kes yang sama, menjadi mangsa penembak senyap. Dia sudah pucat. Mana tahu tiba-tiba tubuhnya pula menjadi mangsa penembak senyap itu. Dahlah belum nikah lagi ni.. Kudin mengesat peluh yang sudah menitik laju di dahinya. Dia diamkan diri di situ. Setelah keadaan kembali reda, dia menyusup masuk ke dalam gudang melalui pintu kecil yang sedikit terbuka di bahagian kiri gudang itu.




Last edited by Ipo on 8-8-2014 12:46 AM

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-6-2014 01:19 AM | Show all posts
makin bertambah watak ni
Reply

Use magic Report

Post time 13-6-2014 07:44 AM | Show all posts
Ipo...

PANjangnya CerPEN hang....

Dah boleh mintak tukaq kaler benang dah ni....

Malas nak speku... iols tunggu sambungan jah....
Reply

Use magic Report

Post time 13-6-2014 07:55 AM | Show all posts
cite semakin ganas Ipo... tp sgt best sbb sambungan yg sangat panjang... thank u TT...
Reply

Use magic Report

Post time 13-6-2014 09:05 AM | Show all posts
Salam pagi Jumaat semua.....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2014 09:30 AM | Show all posts
nallepooh posted on 13-6-2014 01:19 AM
makin bertambah watak ni

saja nak bagi watak tu..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2014 09:32 AM | Show all posts
zazazieglers posted on 13-6-2014 12:10 AM
best cerita ni. i like

tq sebab baca citer rekaan semata-mata..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2014 09:33 AM | Show all posts
Nicki_Meow posted on 13-6-2014 07:44 AM
Ipo...

PANjangnya CerPEN hang....

HAHAHA...minggu lepas lagi ipo terperasan..alamak! Awat citer aku dah jadi novel plak ni? adeh..

Nanti nak suruh @NaylaArisha tukarkan..kalau boleh la..



Reply

Use magic Report

Post time 13-6-2014 09:33 AM | Show all posts
Ipo.. buat novel la terus....
best citer ni...
klu jadi novel leh daku beli buat koleksi....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-6-2014 09:34 AM | Show all posts
Zamzam2013 posted on 13-6-2014 07:55 AM
cite semakin ganas Ipo... tp sgt best sbb sambungan yg sangat panjang... thank u TT...

dah nak klimaks tu...minggu depan habis dah citer ni..(harap2)
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2014 09:35 AM | Show all posts
cegitu posted on 13-6-2014 09:05 AM
Salam pagi Jumaat semua.....

pagi cegitu.. dah sarapan?

ipo baru lepas meragut rumput..hehehe...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-6-2014 09:36 AM | Show all posts
tehlaut posted on 13-6-2014 09:33 AM
Ipo.. buat novel la terus....
best citer ni...
klu jadi novel leh daku beli buat koleksi....

tehlaut..itu la..dah jadi mcm novel la pulak..adeh..



Reply

Use magic Report

Post time 13-6-2014 10:11 AM | Show all posts
ala nak lagi...huhuhu
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2024 04:55 PM GMT+8 , Processed in 0.849828 second(s), 43 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list