SEKTOR pelancongan Melaka dijangka akan menerima kesan positif apabila sebuah kafe bertaraf antarabangsa, Hard Rock Cafe (HRC), memulakan operasinya di Banda Hilir Februari depan. HRC Melaka, cawangan ketiga jenama popular ini selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dikatakan bakal menjanjikan pengalaman unik dan berbeza daripada HRC yang lain. Ikuti laporan wartawan M JEFFRI RAZALI, SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN & AMRAN ALI berhubung pembukaan kafe terkemuka di negeri pelancongan ini. Mengambil sempena lokasinya di bandaraya bersejarah ini, HRC Melaka bakal menjadi kafe HRC pertama yang menawarkan makanan popular Melaka seperti asam pedas, cendol, char kue tiau dan ais kacang di dalam menunya. Malah, bagi Pengurus Besar HRC Melaka, Anderson Kandiah, keunikan dan kelainan inilah yang diyakini bakal menjadi antara faktor yang akan menarik minat pengunjung, sekaligus turut menyumbang kepada jumlah ketibaan pelancong di Melaka. “Selain menjanjikan kepuasan kepada pengunjung serta membawa konsep makanan dan hiburan ke satu tahap baru di Melaka, saya percaya HRC Melaka akan dapat berjalan seiring dalam membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menarik lebih pengunjung, terutama pelancong luar, ke Melaka. "Sebagai contoh, seorang di Amerika Syarikat yang melayari laman web HRC secara tidak langsung akan tahu mengenai Melaka. Mungkin selama ini mereka tidak pernah mendengar nama Melaka tetapi dengan adanya HRC, nama Melaka akan dibawa ke serata dunia. “Dalam aspek ini, kita di HRC Melaka merasa amat teruja kerana selain membawa jenama HRC ke Melaka kita juga akan menjadi sebahagian dari pemain industri pelancongan, yang mana bagi saya adalah sebagai membayar balik sokongan padu yang diberikan Kerajaan Negeri kepada kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tapak HRC Melaka, di sini.
|
ADVERTISEMENT