KERJAYANYA dalam dunia seni Hollywood bermula sebagai pelakon ekstra melalui siri Centennial pada 1978, diadaptasi daripada novel yang berjudul sama karya James A. Michener. Bagaimanapun, kemunculan George Clooney dalam sitkom pendek ER pada 1984, membuka ruang untuknya terus berkembang sebagai pelakon. Dia kemudiannya terpilih untuk menjayakan watak sebagai buruh kasar dalam siri The Facts of Life, menjadi detektif, Bobby Hopkins dalam episod The Golden Girls, memegang watak tambahan dalam sitkom Roseanne, Baby Talk, Sisters dan Return of The Killer Tomatoes (1988). Begitu pun, bakat Clooney mula dikenali menerusi watak Dr Doug Ross bergandingan bersama Anthony Edwards, Julianna Margulies dan Noah Wyle, dalam drama perubatan popular terbitan NBC mulai 1994 hingga 1999. Buktinya, melalui siri drama tersebut, aktor berbadan sasa ini menerima dua pencalonan bagi Emmy Award untuk kategori Outstanding Lead Actor dalam Siri Drama pada 1995 dan 1996. Dia juga memperoleh tiga pencalonan bagi Golden Globe Award untuk Pelakon Terbaik bagi kategori Siri Drama Televisyen pada 1995, 1996 dan 1997. Malah, ketika masih lagi dalam ER, bekas suami Talia Balsam ini mula menerima watak utama untuk pelbagai filem termasuklah Batman & Robin (1997) dan Out Of Sight (1998), filem pertamanya dengan pengarah terkemuka, Steven Soderbergh. Begitu pun, kejayaan terbesar anak kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat ini adalah apabila memegang watak Danny Ocean menerusi filem trilogi Ocean's iaitu Ocean’s Eleven (2001), Ocean’s Twelve (2004) dan Ocean’s Thirteen (2007). Tidak cukup dengan berlakon, aktor berusia 52 tahun itu 'meluaskan' pengaruhnya di Hollywood dalam bidang pengarahan. Kemunculannya sebagai pengarah dapat dilihat menerusi karya biografi filem seram, Confessions of a Dangerous Mind pada 2002. Good Night and Good Luck (2005), Leatherheads (2008) dan The Ides of March (2011). Pelakon Kelas A Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, pelbagai kejayaan diraihnya. Selain bergelar pelakon gred A di Hollywood, Clooney juga adalah selebriti pertama dalam sejarah Oscar menerima pencalonan untuk pengarahan dan berlakon pada tahun sama. Pada 2006, Clooney atau nama sebenarnya, George Timothy Clooney menerima Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Syriana semasa Academy Award. Dia turut dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik untuk filem Good Night, and Good Luck pada Academy Award 2006. Nama Clooney tidak pernah putus dicalonkan untuk Academy Award. Pada 2008, Clooney sekali lagi tercalon sebagai Aktor Terbaik bagi lakonannya menerusi filem Michael Clayton (2007). Selain itu, karya-karya Clooney juga turut tercalon dalam Golden Globe, Screen Actors Guild Award dan BAFTA. Baru-baru ini, menerusi filem The Descendants, Clooney ditabalkan Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) selain Filem Terbaik pada Golden Globes Awards 2012. Harus diakui, sejak zamannya berlakon dalam ER, kerjaya Clooney semakin menyerlah, malah filem terbaharunya Gravity dilihat mampu meraih anugerah Oscar untuk tahun ini. Namun begitu, bagi Clooney, sebagai pelakon berjaya bukan mudah untuk mengimbangi kejayaan dan kemasyhuran. Untuk bertahan dalam industri hiburan kontemporari, kata Clooney, seseorang selebriti perlu bijak menyesuaikan diri. “Kita mencari kemasyhuran bukan saja untuk terkenal tetapi mahu membuktikan kita pandai meraih usaha, hasil kerja dan peluang diberikan. “Tetapi bila mencipta nama barulah kita tahu betapa mudahnya hanyut dan terikat dengan dunia kemasyhuran itu,” katanya. Taruhan terbaharu Clooney Dalam perkembangan terbaharu, Clooney akan muncul dalam filem terbaharu arahannya, The Monuments Men yang dijadualkan ditayangkan pada 20 Februari ini. Filem ini adalah adaptasi daripada novel, The Monuments Men: Allied Heroes, Nazi Thieves And The Greatest Treasure Hunt In History karya Robert M. Edsel. Selain menjadi pengarah, Clooney turut membintangi filem ini di samping Matt Damon, Cate Blanchett, John Goodman, Bill Murray, Hugh Bonneville dan Jean Dujardin. Ia merupakan kisah benar mengenai pencarian dan penyelamatan harta karun Eropah yang jatuh ke tangan Nazi pada masa kepemimpinan Hitler. Filem ini sangat menitikberatkan tentang cerita monumen, seni halus dan program arkib.
|
ADVERTISEMENT