Gambar hiasan Batu Gajah: Lima sekeluarga yang sedang nyenyak tidur di rumah mereka di Kampung Gunung Hijau nyaris maut sejurus sebuah kereta BMW X5 terbabas sebelum ‘terbang’ menghempap bumbung rumah mereka awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kereta yang dinaiki tiga lelaki dipercayai dipandu laju, hilang kawalan dan terbabas merempuh besi pembahagi jalan di laluan berbukit di kawasan kampung itu. Kereta mewah itu kemudian merempuh sebatang tiang elektrik konkrit sehingga patah sebelum kenderaan itu menimpa bumbung dapur rumah berkenaan. Bagaimanapun semua penghuni rumah yang ketika itu sedang tidur tidak mengalami sebarang kecederaan dan ketiga-tiga individu di dalam kereta BMW itu juga terselamat. Pemilik rumah, Ah Boon, 65, berkata, dia terjaga daripada tidur sebaik terdengar dentuman kuat di bahagian dapur sebelum mendapati sebuah kereta terbalik di atas bumbung dapur rumahnya. “Dentuman itu sangat kuat hingga menyebabkan rumah kami bergegar seperti dilanda gempa bumi. Saya bernasib baik kerana kereta itu hanya menghempap bumbung dapur yang terletak hanya beberapa meter dari bilik tidur. “Bahagian bumbung dapur ranap sepenuhnya akibat ditimpa kenderaan itu. Saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui sedang membaik pulih rumahnya petang, semalam. Ah Boon yang bekerja sebagai tukang kayu berkata, jumlah kerugian dialami dan kos membaik pulih bumbung yang ranap dianggarkan RM1,000 dan pemilik kenderaan itu berjanji untuk menanggung kos berkenaan. “Saya percaya pemandu dan dua penumpang kenderaan mewah itu berada di bawah pengaruh alkohol serta memandu laju sehingga terbabas,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
|
ADVERTISEMENT