SETELAH berkolaborasi dengan beberapa penyanyi ternama seperti Ramlah Ram, Najwa Latiff, Hazama, Zizan Razak, Ahli Fiqir dan Aaron Aziz, kumpulan Sleeq mengakui mereka mengimpikan untuk berduet dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. Kumpulan yang dianggotai oleh Alif Abdullah (Alyp), 23, dan Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif), 23, ini bagaimanapun menegaskan, kolaborasi antara artis sebelum ini adalah secara tidak langsung dan atas pelawaan, bukan untuk meraih populariti. “Kami sangat meminati Siti Nurhaliza dan bercita-cita untuk berpadu suara dengannya. Kami juga bukan memilih yang popular saja, namun tentulah yang bersesuaian dengan konsep album kami. “Kerana kami yakin akan memberikan sumbangan seperti pertukaran lagu dan sumbangan lirik yang kami buat, ia akan memperlihatkan penyatuan kreativiti antara penyanyi lain untuk meningkatkan taraf industri muzik,” kata Alyph yang pernah berkolaborasi dengan Najwa Latif menerusi lagu Untuk Dia, sekali gus mencipta sebuah lagu berjudul Sahabat kepada penyanyi itu. Bagi Syarif pula, dia merasakan kolaborasi itu sangat penting memandangkan sudah banyak lagu kolaborasi dihasilkan, hingga sekarang ia juga tidak menjadi permasalahan setiap kali menerima undangan untuk membuat persembahan. “Saya rasa tiada masalah berkolaborasi kerana jika menerima sebarang undangan persembahan, kami akan berhubung dan berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang persembahan,” katanya. Diterima peminat Ditanya mengenai perancangan terbaru mereka, Sleeq merancang untuk menumpukan kolaborasi berbanding lagu solo. Kumpulan ini juga akan mengeluarkan single dari semasa ke semasa. Duo berkumpulan yang berasal dari Singapura ini juga akan terus mengetengahkan konsep pop, R&B dan hip hop. Kedua anak muda ini mampu mencipta lagu dan menulis lirik dengan baik bersandarkan muzik catchy dan sesuai dengan permintaan muzik masa kini. “Memandangkan kelompok peminat di sini lebih ramai jika mahu dibandingkan dengan Singapura, dan banyak permintaan daripada peminat, kami memang bercadang untuk mengeluarkan single lagi. “Saya sendiri tidak sangka apabila lagu-lagu kami diterima baik di Malaysia. Ramai yang suka dengan lagu Salam Semua dan ini sedikit sebanyak menunjukkan yang muzik kami juga diterima di sini. “Sebelum menghasilkan lagu, kami lebih suka bereksperimen untuk menghasilkan muzik yang benar-benar berkualiti dan baik, sekali gus boleh memberikan kesan kepada peminat. “Dalam proses menghasilkan muzik, kami akan memastikan rakan-rakan rapat mendengar dahulu hasilnya. Kami mahu lagu-lagu yang dihasilkan terus mendapat sambutan baik peminat,” kata Syarif. Sleeq yang ditubuhkan sejak tahun 2005 daripada dua sepupu bersaudara ini pernah menghasilkan album EP yang berjudul In The Q pada tahun 2007 dan pernah juga mendapat pengiktirafan di Anugerah Planet Muzik pada tahun sama dan pada 2008. Justeru, bagi memastikan dapat memberi tumpuan terhadap karier mereka di sini, Sleeq kini sanggup tinggal bersama-sama dengan mentor mereka, Aaron Aziz. “Abang Aaron menasihati kami menetap di sini (Malaysia). Senang untuk saya dan Alyph bekerja dan tak perlu nak ulang alik dari sini ke Singapura. "Alhamdulillah, kami sudah selesai semua urusan penting di Singapura dan kami sudah menetap di sini sejak Oktober lalu,” kata Syarif.
|
ADVERTISEMENT