Ghee Lye menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Umar kepada Mohamad di Ibu Pejabat Daerah Alor Gajah, semalam. ALOR GAJAH – Selari bergelar negeri pelancongan, Polis Melaka memerlukan pertambahan anggota bagi memastikan tahap keselamatan di negeri ini terus terjamin. Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, setakat ini, seramai 2,400 pegawai dan anggota polis bertugas di Melaka, jumlah yang tidak mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan negeri. Menurutnya, sasaran kedatangan pelancong mencecah 14 juta tahun ini selain pertambahan secara berganda pada cuti persekolahan, jelas memberi cabaran besar kepada polis. “Di Melaka setiap tahun jumlah penduduk meningkat. Walaupun tak sampai sejuta tetapi apabila cuti negeri ini dipenuhi pelancong dua kali ganda. “Bagaimanapun, perjawatan setiap negeri berdasarkan jumlah penduduk yang ada. Harapan kerajaan negeri adalah sangat tinggi mahu melihat Melaka menjadi negeri berlaku jenayah paling rendah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Alor Gajah di Ibu Pejabat Polis daerah di sini, semalam. Gee Lye berkata, kira-kira 20 polis pelancong bertugas mengendalikan tahap keselamatan pengunjung di Melaka selain seseorang anggota dibebani dengan pelbagai tugasan rentetan perjawatan tidak mencukupi. Bagaimanapun, Melaka terus mencatatkan jenayah indeks di bawah 12 peratus selain mengharapkan masyarakat bersama-sama membantu mencegah jenayah. Terdahulu, Superintendan Mohamad Laham menjadi Ketua Polis Daerah menggantikan Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang akan menggalas tanggungjawab selaku Komandan Pusat Latihan Polis Pasukan Gerakan Am Briged Utara, Ulu Kinta, Perak. Sementara itu, Mohamad sebelum ini bertugas Pegawai Turus Pentadbiran Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang menggantikan Umar yang pernah bertugas selama tujuh tahun di daerah berkenaan. “Terima kasih di atas segala kerjasama dan sifat tanggungjawab menjalankan tugas semasa bersama saya. Mohon maaf di atas segala kesilapan sepanjang tempoh saya berkhidmat di sini,” kata Umar.
|
ADVERTISEMENT