Meskipun sudah berusia 52 tahun, namun bukan penghalang bagi bintang filem terkenal Hong Kong, Andy Lau untuk melakonkan sendiri pelbagai aksi lagak ngeri tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri profesional (stuntman). Keupayaan tersebut dibuktikan menerusi filem terbaru lakonannya, Firestorm. Aksi terjun dari tingkat 11, bukan semua pelakon mampu melakukannya tanpa sebarang kecederaan. Begitupun Andy dapat menyahut cabaran tersebut dengan baik meskipun mengetahui risiko yang bakal dihadapi. Lantas filem yang ke-146 beliau ini merupakan filem paling bahaya pernah dijayakan. "Saya masih muda okay! Saya masih mampu melakukannya. Semestinya famili saya bimbang akan keselamatan saya tetapi ketika saya melakukan semua aksi-aksi bahaya tersebut, saya dijaga rapi dan semuanya selamat. "Saya rasa tidak ada babak yang paling sukar kerana semuanya dirancang dengan baik sekali. Cuma keadaan cuaca memberi cabaran besar pada kami. Ketika penggambaran dijalankan, cuaca sangat sejuk. "Saya seorang yang jujur, jika saya mampu melakukannya, saya akan lakukan dan jika tidak boleh, saya akan cakap tidak. Dan saya sangat selesa sepanjang penggambaran dijalankan. Tiada apa-apa kecederaan berlaku pada saya ketika penggambaran. Semua itu adalah kesan (effect) daripada make up dan ia tidak benar", katanya ketika ditemubual pihak media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, kelmarin. Pemilik nama sebenar, Lau Tak Wah ini berkunjung ke Malaysia pada Selasa lalu sebagai memenuhi jadual rangka promosi filem gangster 3D pertama Hong Kong ini. Selain menghadiri malam gala, beberapa jam sebelum itu, Andy Lau sempat mengadakan sesi bertemu mesra bersama para peminatnya, bertempat di pusat membeli belah Pavilion. Menariknya, Firestorm arahan Alan Yuen ini ia adalah filem gangster 3D pertama Hong Kong. Menjalani penggambaran sekitar November 2012 hingga Februari 2013, Firestorm memaparkan visual seperti satu peperangan di sebuah bandar. Setiap babak dalam filem ini mempunyai kesukarannya kerana kebanyakkannya berlaku di dalam Bandar yang sibuk sepanjang masa dan ia merupakan satu cabaran yang besar dalam sejarah pefileman Hong Kong. Ketika penggambaran, pihak produksi telah menggunakan lebih daripada 100 jenis senjata api, 20,000 prop peluru, berpuluh-puluh anggota SDU, beratus-ratus kenderaan serta aksi letupan dan babak kemalangan. Beberapa laluan di kawasan Pedder Street turut ditutup untuk memudahkan penggambaran dan aksi tembak menembak. Selain Andy Lau, filem turut dibintangi oleh barisan pelakon Gordon Lam Ka Tun, Yao Chen, Ray Lui Michael Fitzgereld Wong, Michael Tong Man Lung dan Hu Jun. Firestorm mula ditayangkan di Malaysia pada 12 Disember 2013. Sementara itu mengenai perkembangan terbarunya, Andy berkata buat masa ini belum ada apa-apa projek besar di HongKong. Ditanya sama beliau merancang memgembangkan kariernya di Hollywood, kata pemegang Guinness World Records untuk gelaran "Most Awards Won by a Cantopop Male Artis" - sebanyak 292 anugerah (setakat ini), "Kalau ada pun tawaran dari Hollywood pada masa akan datang, saya rasa saya perlu pertingkatkan dulu kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris. Apa yang pasti, selepas tamat promosi Firestorm, saya mahu bercuti selama 3 bulan", katanya sambil tersenyum.
|
ADVERTISEMENT