Hampir semua pelakon kembali berada di lokasi penggambaran tanpa henti sebaik kebenaran melakukan penggambaran dibenarkan kerajaan sejak Julai lalu.
Bagaimanapun, pelakon dan model Sharifah Husna Syed Mustaffa, 34, sebaliknya sibuk mengeluarkan produk terbaharu untuk perniagaannya. "Memandangkan semua urusan dah dibenarkan dan semua sektor pekerjaan dah dibuka, saya sedang siapkan 'production' baharu untuk butik pakaian saya. "Dah lama saya tak keluarkan koleksi baharu iaitu hampir setahun. Sebelum ini butik saya hanya keluarkan baju, tapi kali ini saya keluarkan koleksi tudung sekali. Keputusan ini dibuat kerana projek drama saya yang tertunda dijadualkan bermula semula dalam Disember depan," katanya.
Bagaimanapun, dia ada terbabit dalam beberapa drama sebelum ini antaranya Malaysian Ghost Stories dan beberapa program TV.
"Itu saja yang saya buat untuk masa ini. Saya akan mula sibuk dengan lakonan tahun depan. Habis saja, saya akan sambung drama yang tertunda kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu. Saya akan mula penggambaran untuk 20 episod RTM. "Dalam pada itu saya menunggu tawaran sementara berbaki beberapa bulan yang ada untuk masuk ke tahun depan," katanya. Pelakon drama Isteri Tuan Ihsan, Mencari Kiblat Cinta dan Hati Yang Tersakiti ini mengakui, beberapa produksi pernah bertanyakan jadualnya untuk penggambaran, namun tiada rezeki untuk berlakon.
"Bila hantar nama pada stesen TV mereka senyap saja. Mungkin bukan rezeki saya. Ada yang tawarkan, tapi jadual bertembung pula. Jadi, saya fokus pada perniagaan dulu. "Buat masa ini, beberapa lagi drama dan telefilem lakonan saya belum ditayangkan. Saya sendiri pun belum pasti tarikh siaran drama terbabit," katanya. Husna yang mula terbabit dalam lakonan sejak 2016 mengakui kebanyakannya ditawarkan watak sama dalam setiap drama. "Banyak watak yang saya dapat sebelum ini agak sama. Dulu ketika saya baharu mula berlakon, saya selalu dapat watak pembantu peribadi bos. Malah, ia berterusan sehinggakan orang labelkan saya kalau berlakon saja mesti watak ini. Sekarang pula watak yang saya lakonkan kebanyakannya watak yang agak baik, lembut dan sopan," katanya.
Menurutnya, itu agak mudah untuknya kerana tidak jauh daripada personalitinya yang sebenar. "Saya jarang dapat watak jahat. Pernah beberapa kali saya dapat dan agak mencabar juga buat saya. "Sebabnya saya perlu berusaha lebih lagi untuk menjayakan watak itu. Saya juga ingin bawa watak 'split personality' iaitu seorang yang ada banyak personaliti dalam diri. "Dari awal saya masuk bidang ini, saya nak sangat cuba bawa watak itu. Tapi, setakat ini belum ada rezeki lagi," katanya.
Husna sebelum ini mengakui sebenarnya tidak terfikir untuk menjadi pelakon. Walaupun mempunyai minat, dia tidak pernah terpanggil untuk mencuba nasib. "Sudah lebih empat tahun saya dalam bidang lakonan, cuma dalam tempoh dua tahun ini baru saya berlakon secara serius.
"Saya mengambil keputusan mengikuti kelas lakonan anjuran pelakon dan pengarah Zul Huzaimy untuk belajar asas lakonan. Alhamdulillah ia banyak membantu dan sekarang saya berlakon ikut yang diajar dan ditambah baik dengan pengalaman yang saya dapat sepanjang berlakon," katanya. Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak tiada masalah membawakan watak bercinta, namun dalam masa sama mengakui perlu mempunyai batas yang perlu dijaga. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|