|
Brasilia: Seorang lelaki di Brazil ditahan polis kerana disyaki membunuh rakannya dan memotong anggota badan mangsa dengan gunting. Suspek juga dikatakan membakar badan rakannya itu sebelum meminum darah mangsa dalam kejadian yang dipercayai ada kaitan dengan ritual ilmu hitam.
Daily Star melaporkan, mangsa, Binman Antonio Carlos Pires de Lima, 33, dibunuh dengan kejam oleh suspek di Samambaia, Brazil, pada 1 Oktober lalu. Ketika kejadian, mangsa sedang tidur. Menurut keluarga mangsa, suspek yang tidak didedahkan namanya adalah rakan Antonio, ditangkap seminggu kemudian dan ketika ini, masih ditahan di dalam penjara.
Suspek bekerja sebagai pemungut sampah dan dia tinggal bersama mangsa. Dia didakwa atas kesalahan membunuh dan menyembunyikan mayat, namun tidak mengaku bersalah melakukan jenayah itu. Suspek kini menunggu kes itu dibicarakan. Media tempatan melaporkan, polis percaya suspek membunuh Antonio sebelum memotong anggota badan mangsa. Dia membawa anggota badan itu ke tempat letak kereta kosong sebelum membakarnya di situ. Ketika siasatan, polis menemukan tulang dan abu mayat di tempat kejadian. Hasil pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menemui darah di ruang tamu serta kesan upacara ilmu hitam. "Kami memasuki rumah dan segera melihat unsur yang menunjukkan seperti kultus di sana dengan gambar 666 dan 'syaitan' di dinding," kata Ketua Polis, Rodrigo Carbone. Suspek kemudian dilaporkan melarikan diri ke satu tempat bagi meminta makanan dan wang. Dia ditangkap di tempat kejadian selepas kembali ke situ untuk mengambil barang. -CARI Sumber: Harian Metro
|

ADVERTISEMENT