PENIAGA BANGLADESH DI PLAZA LOW YAT TERPERANGKAP MENIPU PELANGGAN Kira-kira jam 7 malam semalam, saya bersama kru Penyingkap Fakta, Shahrul Ashraf Salehuddin berada di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk mencari beberapa barangan keperluan komputer. Kami menaiki tangga bergerak ke tingkat satu. "Tengok itu, lelaki Melayu sedang bertengkar dengan lelaki Bangladesh," bisik saya kepada Shahrul. Shahrul sempat menoleh, melihat mereka bertengkar di tengah laluan orang ramai. Beberapa saat kemudian 2 lelaki itu berjalan pantas memintas kami berdua. Sejurus kemudian, lelaki Melayu itu berhenti dan kemudian berbisik kepada saya. "Lelaki Bangladesh itu menipu saya, tolong," ujarnya ringkas. Lalu saya pantas mengekori mereka ke satu daripada kedai di bahagian hujung. Saya kemudiaan difahamkan, lelaki Bangladesh itu penyewa 4 lot kedai di tingkat 1, kompleks perniagaan terkemuka terbabit. Lihat saiz rantai emas dan gelang dipakainya. Pada awalnya, suara warga asing itu terlalu lantang bercakap dengan lelaki Melayu, saya namakan 'Mohd', 25 tahun. "Awak punya rantai besar, gelang besar tetapi kepala jangan besar," saya mengingkatkan lelaki Bangladesh terbabit, 'Bai'. Dia berstatus penduduk tetap Malaysia dan mungkin mengahwini wanita tempatan untuk menetap dan mencari rezeki di negara ini. Begitulah kelazimannya. "Sekarang saya bagi sama awak telefon baru, free," katanya kepada Mohd. Saya berasa sedikit keliru dan menuntut penjelasan agar masalah didepani pelanggan itu mampu diselesaikan. "Cuba terangkan kepada saya masalah sebenarnya berlaku?," soal saya kepada Mohd. "Saya menghantar telefon I-Phone 3GS ke kedai dia, lebih sebulan lalu untuk digantikan LCD dan penutup bahagian belakang. Hampir setiap hari saya menghubungi pekerja dia tetapi dikatakan telefon belum siap, sedang dibaik pulih. Selepas menunggu sekian lama, saya datang ke sini, mengambli telefon itu dan balik," jelas pekerja syarikat Ranhill itu. Mohd membayar RM260 kepada Bai. "Beberapa hari selepas itu, saya menyedari, terdapat kelainan pada telefon saya. Penutup belakang dikatakan baru tetapi banyak kesan calar. Lalu saya memeriksa imei telefon itu dan dibandingkan dengan imei tercatat di kotak asal. Ternyata kedua nombor siri itu berbeza. Saya datang kembali bertemu dengan dia. Rupanya motherboard telefon ini telah diganti. Asalnya 16 Gb, ditukar kepada 8 Gb," jelas pelanggan berasal dari Selayang, Selangor itu. Berikut 2 resit ditunjukkan kepada saya. Bai memasang telinga, mendengar perbualan kami. "I-Phone dia (Mohd) 16 Gb dan awak menukar motherboard kepada 8 Gb, jadi awak menipu pelanggan ini, betul?," soal saya secara jelas. "Ya," dia menjawab, terkedu. Jawabannya itu didengari oleh puluhan individu berada di sekitar kami. Saya mendekati Bai dan merenung tepat ke wajahnya. Jika pada awal pertemuan, penampilan dan suaranya kelihatan dan kedengaran bak singa mengaum kelaparan, tatkala itu perlakuan taukeh terbabit tidak ubah seperti kucing Siam disergah dek tuannya. "Awak mahu berbincang dengan dia (Mohd), bercakap dengan perlahan. Hormatlah sikit. Kalau mahu lawan kuat suara, suara saya lebih kuat," saya memperingatkannya. Dia akur. Saya kemudian mengeluarkan kamera dari dalam beg sandang dan mula merakamkan gambar di lokasi kejadian. Ketika itu lebih ramai pengunjung dan pekerja di plaza itu berkumpul di sekeliling kami. Tiba-tiba saya dihampiri oleh lelaki India bisu, memakai baju berwarna merah hitam dalam gambar di atas. Dia menghulurkan kepada saya sekeping kertas. Kertas itu tidak saya capai tetapi sempat meluangkan beberapa saat membaca kandungan nota ditulis tangan itu. 'Dia selalu repair, tipu customers'. Ramai lelaki Cina bertugas di sekitar gerai Bai hanya melihat sambil membisu sahaja. "Sekarang saya sudah tukar balik motherboard kepada 16 Gb, kos repair tidak perlu dibayar, free," ujar Bai sambil menghulurkan telefon I-Phone kepada Mohd. "Ini bukan pasal awak tidak mengambil upah membaik pulih telefon. Masa tinggal di Bangladesh, awak mungkin hidup susah, apabila diberikan kebebasan serta peluang berniaga di Malaysia, awak menipu pelanggan," kata saya kepadanya. "pekerja dia berbadan besar itu langsi gila sebelum ini," Mohd mengadu. Saya memandang lelaki dimaksudkan. Bertubuh besar tetapi wajahnya kelihatan tidak ubah seperti wajah bayi baru dilahirkan ke dunia. "Saya warganegara Malaysia, ini negara saya. Kalau awak rasa, orang Malaysia boleh dipermainkan, sila. Saya mahu tengok," saya memberitahu pekerja terbabit. Dia tunduk. Saya kemudian merakamkan gambar satu daripada 3 lot kedai disewakan kepada Bai. Ramai pekerja warga Bangladesh dan Pakistan kelihatan berdiri tercegat di sekitar kami tetapi tiada pula antara mereka berani campur tangan. Walhal ketika itu, saya hanya bersama Shahrul, cuba membantu individu tidak pernah kami kenali sebelum itu. "Saya pun tidak pasti berapa ramai bilangan pelanggan awak tipu sebelum ini," kata saya kepada Bai. Dia hanya mendiamkan diri. Kira-kira setengah jam kemudian, setelah mengucapkan terima kasih, Mohd beredar dari premis itu sambil mengenggam telefon bimbitnya, separuh gembira. "Di sini ramai orang Bangladesh, Pakistan berniaga dan bekerja terutama di tingkat tiga. Kami pun kurang pasti status mereka samada pemilik dokumen perjalanan sah dan permit kerja atau sebaliknya," bisik peniaga Cina petah berbahasa Melayu. 3 lagi lot kedai disewa oleh Bai terletak di aras sama. Melihat riak wajahnya, saya dapat menjangkakan, lelaki Cina itu serta peniaga warga tempatan lain sudah terlalu jelak dengan lambakan warga asing di plaza terbabit. Justeru molek sekiranya, penguat kuasa Jabatan Imigeresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu plaza sama sekaligus memeriksa status dokumen perjalanan puluhan pekerja kini berlagak bak taiko, 'abang besar'. Untuk tidak ditipu, berhati-hati apabila membeli barangan di Plaza Low Yat. Tidak perlu berkunjung ke kedai disewa oleh warga asing, tambahan pula ke kedai Bai. Saya pasti 100%, hanya Bai sahaja memakai gelang tangan, rantai dan loket sebesar itu.
|
ADVERTISEMENT