MARAN – “Hati ibu mana tidak sayu apabila mengenangkan nasib anak dan cucu yang kini lumpuh. Saya tidak menyangka kegembiraan kami sekeluarga menyambut orang baru dua tahun lalu menjadi tragedi yang membuatkan hidup kami berubah sama sekali,” kata Jawahir Abdullah, 56, mengenai kejadian yang menimpa anak tunggalnya, Rashidah Abd Malek, 33, yang mengalami komplikasi darah tinggi ketika melahirkan anak pertamanya.
Jawahir berkata, Rashidah menghidap penyakit darah tinggi kronik ketika mengandungkan Nur Syafikah Mohd Nordin, yang kini berusia dua tahun.
Katanya, ketika hendak melahirkan bayinya itu, Rashidah tiba-tiba diserang sawan ketika dalam perjalanan ke Hospital Besar Melaka.
Jawahir memangku Nur Syafikah yang lumpuh akibat komplikasi sejak lahir
Menurutnya, bagaimana pun apabila berada di wad kecemasan, jantung Rashidah berhenti berdenyut selama 10 minit mengakibatkan anak dalam kandungannya Nur Syafikah turut mengalami komplikasi akibat kekurangan oksigen.
“Kini, kedua-duanya disahkan lumpuh seumur hidup kerana kerosakan saraf pada bahagian otak membuatkan mereka langsung tidak mampu memberi tindak balas terhadap persekitaran.
“Selain itu, mereka juga terpaksa bergantung dengan susu khas yang disalurkan melalui tiub untuk terus hidup,” katanya ketika ditemui, semalam.
Jawahir berkata, sebelum ini Rashidah berkhidmat sebagai pembantu pejabat di sebuah syarikat swasta di Melaka. Selepas Rashidah disahkan lumpuh, suaminya bertindak dengan menceraikan Rashidah dan menghantarnya pulang ke kampung.
Biarpun sudah dua tahun anaknya terlantar, belum ada pihak yang tampil memberikan sumbangan namun baru-baru ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berjanji untuk memberi bantuan RM300 sebulan kepada dua beranak itu.
Jawahir yang juga merupakan ibu tunggal tidak mampu untuk menyara hidup anak dan cucunya. Hanya mengharapkan ehsan dari jiran tetangga yang sudi menghulurkan beras dan sedikit barang keperluan dapur.
Keadaan menjadi semakin sukar apabila cucunya kini disahkan mengalami masalah komplikasi jantung dan perlu melakukan pembedahan segera yang menelan kos sebanyak RM36,000.
Pembedahan Nur Syafikah perlu dilakukan segera untuk mengelakan keadaan Nur Syafikah bertambah parah kerana kerap mengalami sesak nafas dan kegagalan jantung.
Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Jawahir di talian 014-5387794 atau menderma melalui akaun simpanan Maybank, Jawahir Binti Abdullah bernombor 153039125634..
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|