Sikap lantang, 'brutal' dan selamba dalam dunia media sosial bukanlah perkara luar biasa buat aktor, Sharnaaz Ahmad. Sebelum ini, aktor yang meledak nama menerusi filem Juvana itu sering membuat teguran dan melontar kritikan pedas terhadap individu yang terkait dengan sesuatu isu panas.
Terkini, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-30 itu memberi pandangan serta menegur tindakan penyanyi rap, Caprice berhubung kemelut bersama pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew berhubung isu Gaza. Biarpun ramai tidak suka dengan sikap mulut lantang, tetapi ada juga mempersoalkan sikap Sharnaaz mudah sentap apabila ada pihak lain melakukan perkara sama terhadapnya. Mengulasnya, Sharnaaz berkata, dia sudah terbiasa bersikap terus-terang dan tidak pandai berselindung. "Nak kata saya bersikap lantang, tidak juga. Jika nak dibandingkan dengan Sharnaaz yang dahulu, memang lagi teruk. Saya cakap tidak berlapik langsung, cuma saya lebih berhemah sekarang. "Bagi saya, apabila menggunakan pendekatan seperti ini, mesej lebih mudah disampaikan. Saya harap mereka boleh terima sikap lantang ini. Bukanlah niat untuk sengaja mengguriskan hati sesiapa, cuma mahu memberikan kesedaran. "Jika mengenali individu berkenaan, saya akan hantar mesej secara peribadi. Saya bukan sengaja mahu bersikap lantang bersuara, tetapi saya memang tidak pandai cakap 'cover line'. Bagaimanapun, saya anggap netizen lagi kasar berbanding saya," katanya kepada BH Online.
Ditanya ada ketika teguran yang diberikan agak berapi, boleh menyebabkan ada pihak sakit hati, Sharnaaz berkata, zaman sekarang paling dekat adalah telefon pintar dan media sosial. Platform media sosial menjadi alat komunikasi pada era COVID-19 ini. "Saya hanya menjadi diri sendiri dan tidak suka hipokrit. Jika pengikut nak tengok benda yang baik-baik, banyak akaun lain yang boleh diikuti. Secara peribadi, saya bukan seperti itu. Jika tidak boleh terima dan terlalu sensitif, lebih baik jangan ada media sosial," katanya. Namun, Sharnaaz tidak menafikan, ada perkara membuatkannya cepat terasa atau 'koyak' apabila netizen bersikap keterlaluan.
"Sesetengah netizen sangat melampau. Daripada buang masa melayan komen menyakitkan hati dan mereka suka mahu mengheret ahli keluarga termasuk anak, itu memang saya tidak boleh terima. "Apabila berdepan dengan situasi ini, lebih baik saya ambil tindakan memadam komen dan sekat. Itu lebih baik daripada saya terus rasa sakit hati melihatnya. "Bagi saya, mereka yang ambil pendekatan padam dan sekat adalah seorang yang hebat. Apa yang saya belajar, selalunya mereka ini hanya berani dalam telefon sahaja, tetapi takut mahu berdepan," katanya.
Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Tari Tirana pada 2009 itu berkata, ramai pengikut suka dan terhibur melihat gelagatnya berbual dalam Instagram (IG) Live bersama Shukri Yahaya, Hairul Azreen dan Zizan Razak. "Sebenarnya, saya tidak selalu dapat bersama Zizan dan Hairul, tetapi lebih kepada Shukri. Boleh dikatakan saya dan Shukri bersembang menerusi panggilan video, setiap hari. Mungkin sebab kami mempunyai minat sama iaitu sukan lumba kereta dan motosikal, selain berlakon. "Lagipun, kami faham perangai masing-masing yang suka bergurau kasar. Jika orang tidak boleh terima cara kami, itu terpulang. Tetapi, ada yang seronok mendengar kami bersembang. "Alhamdulillah, sesi IG Live kami penuh dengan gelak ketawa. Jika mahu mencari informasi atau ilmiah, boleh cari siaran IG Live lain. Kami umpama 'doktor perasaan' yang boleh ubat hati mereka yang berduka dengan lawak jenaka," katanya.
Mengulas kehidupan sekarang, Sharnaaz berkata, dia tidak terfikir mahu mencari pengganti. Namun, hatinya sentiasa terbuka untuk berkawan sama ada kenalan baharu dan lama. "Buat masa ini, tumpuan saya hanya untuk membahagiakan orang tua dan satu-satunya zuriat, Jebat Jayden. "Saya tidak perlu nak menyatakan kriteria wanita yang mahu dijadikan calon isteri. Kita boleh merasakan aura itu sendiri jika wanita berkenaan memang ditakdirkan sebagai jodoh. "Saya tidak mahu terburu-buru soal kahwin atau nak cari pengganti. Saya pernah berkahwin dan memiliki cahaya mata. Jika ada, adalah... Semua ini bergantung pada jodoh dan rezeki," katanya. Pelakon drama Lelakimu Yang Dulu dan Isteri Misteri itu berkongsi, dia dan anaknya, Jebat memang rapat. "Inilah satu-satunya daging daging saya. Bukanlah nak saya tidak manjakan Jebat, cuma saya lebih suka anak belajar sesuatu berdasarkan pengalaman. Contohnya, jika terjatuh, sakit dan bangun.
"Jika rasa panas, jangan pegang. Saya mahu Jebat menerokai banyak benda. Impian saya mahu melihat Jebat menjadi pelumba kereta Formula 1. Sukan adalah perkara yang saya akan terapkan dalam diri Jebat. Saya percaya sukan mampu mendisiplinkan seseorang. Namun, pelajaran perlu diutamakan jika aktif dalam bidang sukan," katanya. Mengulas perkembangan terbaharu, aktor kelahiran George Town, Pulau Pinang itu berkata, dia rindu mahu kembali ke lokasi penggambaran.
"Saya ada menjalani penggambaran drama bersiri untuk saluran Viu, namun penggambaran tertangguh tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Insya-Allah, saya akan kembali ke lokasi selepas aktiviti penggambaran dibenarkan. Ada tiga projek yang menanti iaitu dua menerusi slot Megadrama Astro dan satu lagi untuk TV3. Saya akan bergandingan dengan Shukri. Saya harap peminat sabar menanti kemunculan kami," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|