Gara-gara sering memuat naik gambar bersama seorang artis, penyanyi berbakat besar, Kael, 32, sering diserang seorang individu tidak dikenali di Instagram (IG). Kael atau nama sebenar Michael Lean Thiener berkata, lebih menyedihkan apabila individu yang menggunakan akaun IG palsu itu berulang kali menyalahgunakan Islam dan nama Allah untuk menyerang dan mencaci makinya.
“Saya tidak pasti kenapa dia berbuat demikian. Apa yang saya tahu, dia akan mengecam saya dalam hantaran mesej yang panjang selepas saya memuat naik gambar bersama artis berkenaan. “Kata-katanya terlalu keras. Saya tidak pasti dia lelaki atau perempuan. Mungkin dia peminat tegar artis berkenaan dan tidak senang melihat persahabatan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia. Meskipun berulang kali menerima mesej hentaman daripada individu sama, Kael tidak merancang untuk melaporkannya ke pihak berkuasa dan lebih memilih untuk menyekat individu tersebut daripada terus menjadi pengikutnya di IG.
Namun, penyanyi berdarah kacukan Cina dan Siam ini kecewa apabila kesucian agama Islam dicemari dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu. “Dalam dia memaki hamun, dia selitkan nama Allah dan Islam di dalamnya. Saya pernah menegurnya agar dia menghentikan tindakannya itu kerana bagi saya dia sudah melampau batas. “Islam adalah agama yang indah. Saya dikelilingi Muslim yang bersikap mulia yang saya jadikan rujukan dan panduan dalam kerjaya saya. “Disebabkan itu, saya cukup hormati agama ini dan tidak gembira dengan tindakannya,” ujarnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT