Penyanyi dan pelakon Shiha Zikir mempersoalkan adab dan tindakan petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tidak membenarkan dirinya merakam video ketika disuntik vaksin dos kedua semalam.
Berang dengan insiden yang berlaku ke atasnya, Shiha menerusi hantaran Instagram juga mengakui keliru apabila tidak dibenarkan merakamkan sebarang video sedangkan kerajaan menerusi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin membenarkan sydah secara jelas membuat pengumunan rakaman suntikan vaksin adalah dibenarkan.
“@khairykj dah cakap dibenarkan ambil video tambahan memang niat nak galakkan orang atau pengikut untuk ambil vaksin. “Sekurang-kurangnya beradablah sikit jika nak cakap dengan penerima dan janganlah bagi alasan yang tak masuk akal. Bukannya tak percaya dekat doktor pun,” katanya. Menurutnya, tiada isu yang seharusnya timbul apabila penerima merakam video kerana perkara tersebut menjadi bahan bukti kepada kedua-dua pihak sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Pada hantaran sama, penyanyi yang gemar memuat naik video kelakar itu turut berkongsi kenyataan media MOSTI, sekali gus membuktikan tindakan merakam video ketika mendapat suntikan adalah dibenarkan. Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti menyokong kenyataan Shiha dan berpendapat tidak perlu timbul larangan mengenai rakaman video. “Sebelum ni sumpah saya memang takut dan antivaksin, tapi selepas tengok idola saya, Kak Shiha pergi ambil vaksin sebelum ini, terus saya kemas kini MySejahtera awal bulan lepas dan alhamdulillah dah dapat dos pertama. “Kak Shiha saya setuju, tiada masalah dan isu pun kalau nak rakam video sebab boleh didik rakyat dan orang lain untuk sama-sama ambil vaksin,” tulis pengikut.
Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, penerima vaksin dibenarkan merakam video suntikan masing-masing bagi mengelak keraguan berhubung isu vaksin kosong yang kerap berlaku kebelakangan ini. Pada masa sama, petugas kesihatan di PPV turut diarahkan supaya menunjukkan picagari yang sudah diisi kandungan vaksin kepada penerima sebelum dan selepas disuntik. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|