Setiap orang mempunyai cara untuk mengungkapkan rasa cinta terhadap seseorang yang mencuri hatinya. Justeru, semestinya hati berbunga tatkala dibuai perasan cinta dan keinginan untuk menzahirkan perasaan itu meluap-luap.
Demikian juga kisah yang ingin penyanyi, Syabil kongsikan dalam lagu baharunya berjudul L.O.V.E. Mengambil inspirasi daripada cerita yang kebiasaan berlaku dalam kehidupan sebenar, pendekatannya cukup ringkas.
Berkongsi mengenai lagu itu, Syabil mengakui tidak salah pun apabila seseorang ada keinginan untuk berterus terang mengenai perasaan cintanya. Keberanian sebegitu tiada pada semua orang, tapi kalau tidak diluah, lebih perit rasanya. "Secara keseluruhan, lagu L.O.V.E adalah perjalanan kisah seorang lelaki yang cuba menambat hati wanita disukainya. Dalam fikirannya, cuma satu iaitu dia perlu beranikan diri untuk meluahkannya. "Perasaan itu berputik ketika dia terserempak pertama kali dengan wanita berkenaan. Dia terus jatuh cinta pandang pertama dan kemudian memutuskan untuk berterus terang mengenai perasaannya kepada wanita itu," katanya. Syabil menjelaskan idea lagu terbabit sebenarnya terinspirasi daripada lagu penyanyi terkenal, Justin Bieber. Baginya, lagu cinta yang sering ditampilkan Bieber cukup jujur, sekali gus tercetus untuk mengambil pendekatan sama.
"Sebenarnya lagu ini saya ilhamkan daripada lagu Let Me Love You nyanyian Justin Bieber yang bagi saya sangat realistik. Pendekatannya dalam lagu terbabit sesuai dengan apa yang saya mahukan dalam lagu L.O.V.E juga. "Demikian juga dengan melodinya yang bagi saya cukup bertepatan dengan mood lagu serta cerita pada setiap bait-bait liriknya. Terus terang, saya sangat berpuas hati dengan hasil akhir lagu ini," katanya. Meskipun kedengaran ringkas, bukan bermakna Syabil tidak melakukan rakamannya dengan bersungguh-sungguh. Hakikatnya, dia mengakui banyak cabaran untuk memastikan hasil akhir L.O.V.E cukup menepati jangkaannya.
"Keseluruhan pembikinannya cukup menyeronokkan, namun tidak ketinggalan ada juga cabaran sukar yang saya alami. Ada beberapa bahagian yang saya perlu berikan usaha keras untuk memastikan ia menjadi. "Bahagian itu adalah pada rangka kedua yang mulanya menggunakan lirik dan melodi lain. Namun, berlaku perubahan saat akhir untuk bahagian tertentu itu ketika baru memulakan rakaman," katanya. Apapun, Syabil lega kerana segala yang diimpikan untuk lagu itu berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya. Lebih penting, dia optimis bahawa lagu terbabit mampu dinikmati ramai disebabkan ia mesra telinga.
"Sejujurnya, saya sangat yakin lagu L.O.V.E bakal mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai lapisan pendengar. Ini kerana, muzik lagunya sangat segar selain mengikut cita rasa yang kita sukai pada masa kini," katanya. Syabil mula didedahkan dengan muzik seawal usia sembilan tahun dan dia mengakui mendapat inspirasi daripada bapanya. Pada usia 14 tahun pula, Syabil mula aktif menyanyi di YouTube dan kerap masuk pertandingan nyanyian serta membuat persembahan.
Bagaimanapun, namanya tular disebabkan video nyanyian yang dikongsi di Instagram. Dia turut menganggotai kumpulan The Five Music yang pernah tampil dengan lagu berjudul Iman Mutiara 2020, termasuk pernah muncul solo dengan single berjudul Terguris. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|