New Delhi: Seorang lagi doktor di India menjadi mangsa lepas geram keluarga pesakit Covid-19. Tribunnews melaporkan keluarga pesakit mengasari pegawai perubatan itu kerana tidak dapat menerima hakikat waris mereka meninggal dunia akibat Covid-19, pada awal bulan lalu.
Dr Seuj Kumar Senapati ketika menceritakan pengalamannya memberitahu, beliau hampir mati akibat dipukul dan ditendang beramai-ramai oleh keluarga pesakit berkenaan. Insiden itu berlaku ketika Dr Senapati bertugas di pusat rawatan Covid-19 di daerah Hojai, Assam, timur laut India. Beliau diminta untuk memeriksa pesakit yang dirawat pada waktu pagi.
Ketika melakukan pemeriksaan, Dr Senapati mendapati tubuh pesakitnya sudah tidak bernyawa. Keluarga pesakit sangat marah sebaik mengetahui perkara itu dan kemudiannya melemparkan kerusi ke arah doktor lelaki berkenaan. Ahli keluarga lain turut bertindak agresif dengan merosakkan tingkap dan mencederakan petugas kesihatan yang ada di situ. Dr Senapati berusaha melarikan diri, tetapi terus dikasari keluarga berkenaan. Sebuah rakaman video yang tular menunjukkan kepala Dr Senapati dipukul dengan pispot (bekas bertutup untuk pesakit membuang air kecil). Mereka turut mengheretnya keluar dan terus memukul hingga mangsa berlumuran darah. Pakaiannya turut dikoyak hingga dia tidak berbaju dan menjerit kesakitan. BBC News melaporkan, tiada siapa yang membantu Dr Senapati ketika itu kerana petugas kesihatan lain turut diserang dan ada yang bersembunyi. "Pakaian saya koyak, gelang emas dirampas, telefon bimbit serta cermin mata pula pecah. "Bagaimanapun, saya dapat melarikan diri kira-kira 20 minit selepas itu," katanya. Dr Senapati kemudian ke balai polis bagi membuat laporan. Video yang tular itu menimbulkan kekecohan dan pemimpin setempat berjanji untuk mengambil tindakan segera berhubung insiden itu Seramai 36 individu termasuk tiga remaja bawah umur disyaki terbabit dalam insiden itu. Kejadian itu bukan yang pertama kerana sejak awal pandemik Covid-19 tercetus di India tahun lalu apabila beberapa doktor sudah menjadi mangsa serangan keluarga pesakit. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT