Baru-baru ini, rakyat Malaysia melancarkan kempen mengibarkan putih sebagai satu inisiatif dalam membantu mana-mana individu yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kempen tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai respon termasuklah dari Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menganggap mengibarkan bendera putih sebagai sebuah kekalahan. Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan dan mengeluarkan kenyataan isu kibar bendera putih sebagai syarat untuk memohon bantuan disebabkan PKP ini. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan isu kibar bendera putih ini dalam dua situasi yang perlu dilihat. Pertamanya, boleh dilaksanakan sekiranya bertujuan meminta bantuan ketika kesusahan dan pihak tertentu juga boleh mengenalpasti individu yang kesusahan. Kedua, perlu dielakkan mengibar bendera putih sekiranya perkara itu mengaibkan diri sendiri. Malah, buat ketika ini banyak pihak-pihak yang sedia menghulurkan bantuan dengan menyediakan nombor telefon mereka di platform media sosial sebagai inisiatif mengenalpasti orang yang kesusahan.
Sehubungan dengan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan meminta orang ramai untuk tidak mempolitikkan mengenai isu kibar bendera putih ini memandangkan ramai rakyat sedang berdepan dengan kesusahan. Terdahulu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi oleh rakyat bagi menagih bantuan. Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor, tindakan mengibar bendera putih dianggap sebagai tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi. Tambah beliau, sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan adalah dilarang khususnya buat umat Islam. Ujar beliau lagi, individu yang mudah mengalah dan berputus asa ini didakwa seolah menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT. Berbicara lebih lanjut, Wan Salim menyeru supaya usaha intensif dan agresif perlu ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib bagi membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan terjejas ini. Manakala, syarikat GLC dan swasta juga diseru supaya menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan memberi sumbangan yang lumayan buat mereka yang terjejas. Sumber: OhBulan |
ADVERTISEMENT