Pembabitan selama 13 dalam bidang lakonan berjaya meletakkan nama dan kerjaya Nazim Othman dalam kelas tersendiri. Walaupun pelakon baharu dan muda muncul bersilih ganti, Nazim, 37, atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman masih menjadi pilihan stesen TV, penerbit dan pengarah untuk bekerjasama dengannya.
Malah, seiring kematangan usianya, begitu juga watak yang diberikan apabila dia berjaya dilakonkan dengan baik sehingga menjadi buah mulut peminat dan sohor kini di laman sosial. Namun, sebagus mana pun pujian dilemparkan pada dirinya, setinggi mana pun kedudukannya hari ini, Nazim yang kini muncul menerusi drama Ratu Tun Pen, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di saluran Astro Ria tidak pernah menganggap dirinya pelakon senior apabila setiap kali bekerjasama dengan pelakon baharu.
Bagi Nazim, biarpun menerusi drama arahan Azman Yahya (Jinggo) terbitan JS Pictures Sdn Bhd itu dia paling senior dalam kalangan pelakon utama, itu bukan kelebihan buat dirinya. "Kalau nak cakap mengenai 'seniority' tak rasa pun dalam drama ini. Tak fikir langsung pun mengenai pelakon senior atau junior. Kami lebih fokus kepada watak masing-masing. "Kalau nak kata susah atau senang bekerja dengan mereka, bagi saya sangat senang. Sebab masing-masing tahu karakter yang perlu ditonjolkan. Apa kehendak karakter untuk setiap watak. Kiranya semua sibuk 'gali' bahagian masing-masing. Jadi, apabila disatukan dalam babak, kami selesa untuk bekerjasama," katanya.
Berkongsi mengenai kehadiran dan beberapa isu yang hangat diperkatakan membabitkan pelakon baharu di lokasi penggambaran, Nazim yang melakonkan watak Arief dalam Ratu Ten Pin mempunyai pendapat tersendiri. "Perkara ini subjektif. Macam saya pernah baharu, kita tahu baharu dan tidak ada persediaan awal maksudnya dari segi pendidikan formal dalam bidang seni. Jadi kena belajar sendiri. Ada orang belajar cepat, ada lambat. Tapi sama ada seseorang itu dia ada pendidikan formal dalam lakonan, atau tidak, apabila dia masuk, sama saja. "Apabila masuk bidang ini kita dalam praktikal. Teori adalah teori. Praktikal dalam situasi sebenar penggambaran adalah berbeza. Bagi saya, kalau pelakon baharu itu komited, betul-betul ikhlas, dia masuk dalam bidang ini sebab minat berlakon, saya berasa keikhlasan dia orang akan nampak melalui hasil kerja dia. Apabila kita ikhlas, tak tahu akan sentiasa bertanya, mengkaji, apakah yang diperlukan dalam bidang in dan apakah diperlukan untuk menjadi pelakon. Sambil melalui proses awal, proses itu berjalan, sambil itu kita menggali.
Dalam erti kata lain serampang dua mata. "Sebab, nak dapatkan peluang untuk masuk bidang ini, diakui sekarang lebih mudah dengan adanya media sosial dan banyak lagi. Kalau dulu susah, kena pergi beratus uji bakat, baharu melekat lima drama. Masa zaman dulu, kena gigih pergi uji bakat. Menggigil tu perkara biasa. Tapi itu semua membentuk integriti atau kekuatan semangat pelakon itu sendiri. Jadi, apabila dapat peluang, alhamdulillah," katanya. Menurut Nazim, apa yang penting dan perlu ada pada semua pelakon baharu adalah komitmen dan disiplin dalam bekerja. "Saya gembira dengan pelakon baharu, sebab pernah berada di posisi itu. Tapi apabila dapat peluang itu kena hargai. Kena komited, masuk bidang ini bukan untuk main-main. Nak main-main baik tak perlu, sebab ramai lagi nak masuk. Kalau dia betul-betul seorang pelakon baharu komited, alhamdulillah teruskan saja.
"Kita memang perlukan pelapis. Sampai bila nak ada muka sama di kaca TV. Macam saya, tak lama lagi dah tidak ada. Dah hujung nyawa orang kata. Jadi, pelapis kena ada. Sama ada dia datang dari seseorang yang ada pendidikan formal lakonan atau tidak, lagi penting adalah komitmen. "Kalau dia ada pendidikan itu tapi tak berdisiplin, dalam realiti punya situasi apabila dalam penggambaran, tak boleh pergi juga," katanya. Selain Nazim, drama Ratu Ten Pin menampilkan pelakon Elisya Sandha, Syaidatul Afifah, Fify Azmi, Sheila Rusly, Hazeeq Dean, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati. Pernah mencuba dalam bidang nyanyian dengan melancarkan beberapa single, Nazim mengakui dia lebih selesa dikenali sebagai pelakon.
Malah, Nazim juga mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi sesuatu perkara yang sedang dalam perancangan kerana bimbang tidak menjadi jika ia sudah hebahkan lebih awal. "Tidaklah nak kata hidup mati dengan lakonan. Kita ini biarlah orang nampak apa yang ada saja. Sekarang ini saya nak tonjolkan, biar orang tahu saya adalah pelakon. Kalau orang tanya, Nazim penyanyi ka? Dia bukan penyanyi walaupun pernah cuba tapi tak boleh pergi. Jadi saya selesa dikenali sebagai pelakon. Alhamdulillah, rezeki dalam bidang ini dipermudahkan dan dilancarkan. "Mungkin orang nampak komitmen saya. Orang nampak kesungguhan dalam kerja saya buat. Sebab industri kita kecil saja. Orang akan bercakap mengenai perkara sama, pro dan kontra. Tapi kalau hujung-hujung orang panggil kita juga maksudnya ada sesuatu yang kita buat dengan betul. Jadi saya ambil ini sebagai satu perkara positif.
"Alhamdulillah, buat masa ini rezeki masih lancar. Untuk masa depan, apabila perkara itu sudah sedia dan ada transisi ke arah lain, saya akan hebahkan. Sekarang fokus utama adalah lakonan. Dulu zaman muda, perkara belum menjadi kita teruja nak kongsi. Tapi apabila sedang merancang dan kongsi kepada umum, secara psikologinya akan membantutkan semangat untuk 'go on'. Saya belajar dari kesilapan dulu. Selepas itu, perkara itu tak menjadi. Jadi untuk kali ini dan masa depan, saya percaya perkara ini apabila sudah jalan baru kongsi. Lain orang lain cara, ini cara saya," katanya. Dalam masa sama, Nazim bersyukur apabila keberadaannya sehingga kini masih diterima baik oleh semua pihak.
"Buat masa ini biarlah orang kenal saya sebagai pelakon. Saya bersyukur dan berterima kasih sebab masih lagi diterima bukan saja di stesen TV, tapi juga dalam kalangan penerbit, penonton dan penyokong," katanya.-CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|