Penderitaan akibat penyakit sinus yang pernah dialami Ezam Lazim pada 2016 kembali menghantui penyanyi itu. Menurut Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 40, selepas membuat pemeriksaan pada Jumaat, doktor memberitahu terdapat ketumbuhan kecil dalam hidungnya dikenali sebagai nasal polyps.
Doktor juga memaklumkan ketumbuhan yang tumbuh di dinding saluran pernafasan itu menyebabkan penyakit sinus penyanyi lagu Luahan Cintaku kembali teruk. "Sudah hampir tiga tahun saya tak buat follow up tentang sinus. Tak sangka sejak kebelakangan ni dah kembali jadi serius. "Dalam hidung saya dah ada nasal polyps. Mungkin akan lebih serius dan berkemungkinan kena buat pembedahan untuk membuang polyps itu," ujarnya kepada mStar.
Terdahulu Ezad berkongsi foto beberapa jenis ubat yang perlu diambilnya bagi mengawal masalah berkenaan daripada menjadi lebih teruk. Untuk rekod Ezad pernah dimasukkan ke hospital akibat muntah berpanjangan dan serangan sinus. Sementara itu bercerita mengenai keadaannya kini, Ezad berkata ia sedikit mengganggu kehidupan hariannya kerana sukar untuk bernafas. "Buat masa sekarang tak selesa sikit, menyanyi pun mungkin tak seperti selalu sebab menganggu bahagian pernafasan. Saya tak boleh bernafas dengan sempurna. "Tadi doktor cadangkan saya supaya mula ambil ubat sinus. Kalau nasal polyps ni masih tak hilang mungkin saya akan dibedah. "Hidung saya dah tersumbat sebelah kanan. Saya bernafas pakai sebelah kiri saja dan kerap berair," katanya. Selain itu Ezad berkata doktor turut menasihatkannya supaya menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat. "Saya harap orang ramai tolong doakan agar saya diberikan kesembuhan, semoga tak melarat menjadi lebih teruk selepas ini," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT